Kelantan setuju lulus cadangan pindaan enakmen kawalan hiburan baharu

Mohamed Fadzli berkata Jawatankuasa Mengkaji Pelaksanaan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan mencadangkan memansuhkan Enakmen sedia ada. – Gambar fail/Bernama

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersetuju meluluskan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 2024 dan dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata berdasarkan kajian, Jawatankuasa Mengkaji Pelaksanaan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan mencadangkan memansuhkan Enakmen sedia ada iaitu Enakmen Hiburan Tahun 1998 dengan menggubal Rang Undang-Undang Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan yang baharu.

Beliau berkata draf Rang Undang-Undang Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan telah dipertimbangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang kali ke sembilan pada 8 Mei dan disahkan pada 15 Mei lepas.

“Pada masa yang sama, Jawatankuasa Mengkaji Pelaksanaan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan juga sedang mengkaji dan menggubal peraturan-peraturan di bawah RUU baharu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Norsham Sulaiman (PAS-Semerak) berhubung status terkini Enakmen Kawalan Hiburan yang sekian lama tidak dipinda pada persidangan DUN di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata antara penambahbaikan mengenai cadangan penggubalan RUU terbabit adalah pewujudan kesalahan-kesalahan baharu seperti larangan terhadap aktiviti hiburan mengandungi, mempromosi, mempunyai atau diselitkan dengan unsur-unsur yang bercanggah dengan akhlak, tatasusila dan moral.

“Selain itu, kesalahan yang menyokong atau menormalisasikan LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok yang mempersoal identiti seksual diri), memecah belah keharmonian dan perpaduan kaum, menghina agama dan percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita tanpa batasan dan kawalan.

“Kadar denda bagi kesalahan-kesalahan di dalam RUU ini dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000 untuk memberi pengajaran kepada individu atau perbadanan supaya mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata RUU baharu ini juga akan menambah baik dan memantapkan prosedur penguatkuasaan berkaitan kuasa untuk menyiasat serta menyita peralatan hiburan termasuk barangan elektronik.

“Pewujudan permohonan lesen, penjualan tiket dan serahan notis secara elektronik dengan mengambil kira medium alam maya iaitu secara elektronik dan peruntukan berkenaan tanggungan kos bagi memindahkan atau menyimpan barangan sitaan yang menjadi hutang kepada Pihak Berkuasa Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan yang boleh dijadikan hasil kepada kerajaan negeri,” katanya.

Source :
Bernama