Tiga lagi anggota kastam didakwa terima rasuah

Tiga anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan menerima rasuah keseluruhan berjumlah RM7,150. – Foto Bernama

SEREMBAN: Tiga anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan menerima rasuah keseluruhan berjumlah RM7,150.

Earizal Mohd Khalid, 43, Ngu Su Siew, 35, dan Mohamad Izuwan Mohd Ali, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Tuan Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Earizal didakwa dengan tiga pertuduhan menerima suapan secara berperingkat berjumlah RM2,950 antara 28 Mei 2017 hingga 3 Mac 2018 di sebuah cawangan bank di Kuala Pilah manakala Ngu didakwa satu pertuduhan menerima suapan RM3,000 pada 20 Dis 2022 di cawangan bank di Nilai.

Mohamad Izuwan pula didakwa dengan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,200 pada 23 Ogos 2019 dan 31 Mac 2020 di cawangan bank di Nilai.

Mereka didakwa secara rasuah memperoleh suapan daripada sebuah syarikat melalui pemindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori syarikat itu yang membawa keluar barang dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Maziah Mohaide manakala peguam Helmi Hassan mewakili Earizal dan Adhwa’ Afiqah Mohd Azmi mewakili Ngu dan Mohamad Izuwan.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran.

Tertuduh juga tidak dibenarkan berhubung dan mengganggu saksi pendakwaan dan mahkamah menetapkan 12 Julai ini bagi sebutan semula kes.

Source :
Bernama