Kerajaan tawar khidmat kaunseling kepada keluarga Farah Kartini

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) menawarkan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga Nur Farah Kartini Abdullah yang ditemukan mati dibunuh di ladang kelapa sawit Kampung Seri Keledang, Hulu Selangor, Isnin lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata keluarga tentunya dalam keadaan trauma dengan insiden tragis yang menimpa mangsa.

“Saya berjumpa dengan keluarga Allahyarham untuk memenangkan mereka, saya dapat bercakap dengan ibu dan abang Allahyarham. Saya juga menawarkan perkhidmatan psikososial dan kaunseling ‘post trauma’ kepada ahli keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini, hari ini.

Beliau yang tiba jam 12.15 tengah hari bersama beberapa pegawainya meluangkan masa hampir satu jam berjumpa dengan ahli keluarga Nur Farah di Unit Forensik hospital berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sibuti itu berkata, beliau berasakan terdapat keperluan untuk menuntut keadilan terhadap mangsa dan mengharapkan polis menjalankan siasatan rapi sekali gus menyelesaikan kes itu.

“Semasa pertemuan dengan keluarga, saya turut menyampaikan ucapan takziah daripada Menteri Kesihatan dan seluruh ahli Parlimen Sarawak kepada keluarga.

“Ketika ini proses pengurusan jenazah sedang berjalan dan jenazah akan dikebumikan di kampung kakak ipar di Pekan, Pahang,” katanya.

Terdahulu, mayat wanita ditemukan mati dipercayai dibunuh di ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, disahkan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, ia hasil keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh pihaknya hari ini.