Ahli BERSATU Jeli keluar parti tidak jejaskan semangat PRK Nenggiri – Kamaruddin

KOTA BHARU: BERSATU menyifatkan tindakan lebih 1,000 ahli mereka di Jeli yang keluar parti berkuat kuasa hari ini, tidak menjejaskan semangat mereka untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md Noor, berkata tindakan mereka keluar parti yang dipercayai didalangi individu tertentu juga dianggap membuang masa.

“BERSATU sudah mengenal pasti kesemua mereka yang mengumumkan keluar parti itu dan mereka adalah penyokong Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

“Buat sidang media pun di pejabat Ahli Parlimen. Mereka boleh saja sebut ribu-ribu yang keluar sedangkan yang hadir puluhan sahaja.

“Di Jeli, terdapat 60 cawangan BERSATU yang berdaftar membabitkan 7,243 ahli. Tidak timbul isu BERSATU di Jeli lumpuh kerana yang keluar hanya sebilangan kecil,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, lebih 1,000 pimpinan dan ahli BERSATU membabitkan lapan cawangan di Jeli mengumumkan keluar daripada parti, berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat kerana kesemua mereka sudah hilang keyakinan terhadap pimpinan parti selain BERSATU dilihat lemah dalam percaturan politik, terutama isu pemilihan calon di PRK DUN Nenggiri.

Berikutan itu, lapan cawangan BERSATU di Jeli iaitu Lawang, Asahan, Batu Gajah, Kedai Kuala Balah, Legeh, Nibong, Jedak Tua dan Kubur Datu dianggap ‘terkubur’ selepas kesemua mereka keluar daripada parti.

Bekas Timbalan Ketua Cawangan BERSATU Kedai Kuala Balah, Rodzi Muhammad, berkata keputusan yang diambilnya bersama rakan-rakan adalah kerelaan mereka sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, mereka berbuat demikian untuk melemahkan semangat petugas BERSATU di DUN Nenggiri.

“Namun realitinya tindakan mereka tidak menjadi kudis pun buat parti. Mereka mengambil kesempatan untuk dilihat berjasa kepada UMNO.

“Dari UMNO mereka datang dan kepada UMNO mereka kembali,” katanya.