UMNO Johor harap isu berkait DUN Mahkota diselesaikan dengan semangat perpaduan

JOHOR BAHRU: UMNO Johor berharap isu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dapat diselesaikan dengan semangat perpaduan dan istiqamah, selain tidak mencetuskan pertelingkahan berterusan.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman, berkata beliau percaya pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor peka mengenai persefahaman dan ketetapan yang dipersetujui bersama di peringkat nasional dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan sebelum ini.

“Dalam perbincangan dan persetujuan sebelum ini, siapa sahaja calon yang menduduki kerusi itu harus diganti dan diisi oleh calon dari parti sama atau yang menang sebelum ini.

“Jadi, jangan kita terburu-buru mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. Jangan kerana perebutan kerusi DUN Mahkota, kita hilang arah dan punca untuk mendapatkan tempat dan jawatan dalam kerajaan ini,” katanya menerusi hantaran video di TikTok, hari ini.

Kelmarin, AMANAH Kluang dilaporkan mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota, yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Ketua AMANAH Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, dilaporkan berkata ia berikutan AMANAH pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 2022.

Namun beliau dilaporkan berkata, jika UMNO Johor selaku tonggak utama kerajaan negeri sedia memberi jawatan dalam kerajaan negeri termasuk sebagai ahli majlis dan ketua kampung, AMANAH sedia memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota.

Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros dilaporkan menyifatkan tindakan AMANAH menuntut kerusi Dewan DUN Mahkota, sebagai gelojoh dan tamak.

Noor Azleen dilaporkan berkata, AMANAH juga dilihat tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, yang baharu meninggal dunia.

Ia menyebabkan Pemuda AMANAH turut dilaporkan tidak akan teragak-agak untuk terus mendesak supaya kerusi DUN Mahkota ditandingi parti itu pada PRK nanti walau terpaksa berdepan saingan tiga penjuru sekalipun.

EXCO Pemuda AMANAH, Fadhli Umar Aminolhuda, ketika menegaskan perkara itu dilaporkan berkata pihaknya akan bertindak sedemikian jika UMNO Johor tidak mengambil langkah secara ikhlas untuk membina kerajaan negeri sebagai Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Halim yang juga Ahli Dewan Negara berkata, budaya UMNO dan BN adalah tidak tergesa-gesa untuk meletakkan calon kerana menghormati keluarga Allahyarhamah Sharifah Azizah.

Katanya, semua pihak perlu sensitif dan mempunyai empati mengenai perkara itu dengan tidak membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Mengulas mengenai desakan dan syarat AMANAH kepada kerajaan negeri, Halim memaklumkan, bukan mudah untuk kerajaan negeri sesuka hati mengubah dasar yang ditetapkan termasuk lantikan EXCO kerajaan negeri, ahli majlis dan ketua kampung.

“Apabila ada yang mempertikaikan (tidak mengikut acuan Kerajaan Perpaduan), mereka kena ingat BN yang bergerak solo memenangi PRN 2022. Sebagai parti yang bersama-sama dalam gabungan ini, harus menghormati keadaan berkenaan.

“Walaupun tak ada jawatan dalam kerajaan, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berlaku adil dengan memberi peruntukan ke kawasan masing-masing bagi perkara berkaitan untuk diselesaikan mengikut ketetapan yang dipersetujui,” katanya.