Dalam dunia pendidikan seperti sekolah dan universiti serta alam pekerjaan, murid, pelajar atau pekerja tidak hadir tanpa sebab dianggap melakukan kesalahan serius. Murid ponteng berdepan pelbagai bentuk hukuman, termasuk rotan dan digantung, manakala pelajar universiti tuang kelas boleh dihalang menduduki peperiksaan bagi subjek terbabit atau dituduh bagi kesalahan tatatertib dan didenda. Jika dilakukan dalam dunia kerjaya, pelaku berisiko dipotong gaji atau kehilangan pekerjaan.
Anehnya, di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diundi serta dipilih rakyat pada pilihan raya, tindakan ponteng seolah-olah dipandang biasa dan dibiarkan tanpa sebarang tindakan tegas kecuali dijadikan jenaka di media sosial. Tidak hairanlah gejala ponteng dipandang hina dan pelakunya dianggap pemalas, tidak bertanggungjawab serta boleh dihukum, sekiranya dilakukan wakil rakyat, mereka tidak pula diletakkan dalam ‘kandang orang salah’ sama.
Hakikatnya, Ahli Parlimen dan ADUN memikul tanggungjawab besar membawa suara, kehendak dan aspirasi rakyat di kawasan diwakili mereka ke Dewan Rakyat, Dewan Negara dan DUN. Apabila tidak hadir dalam sesi perbahasan dan pengundian tanpa justifikasi, mereka mengkhianati amanah diberikan. Mereka menikmati gaji dan elaun tinggi mengatasi pendapatan mendian atau kumpulan M40, tetapi gagal hadirkan diri seperti tuntutan tugasan.
Lebih malang, isu ponteng bukan baharu, malah sudah acap kali disorot media dan disebut Speaker Dewan Rakyat. Ada pula insiden sesuatu usul penting tidak dapat diluluskan atau hampir menemui kegagalan kerana tidak hadir atau gagal menepati masa. Jika murid, pelajar dan pekerja perlu memberikan bukti menjelaskan punca ketidakhadiran mereka, adalah aneh sekiranya Ahli Parlimen atau ADUN boleh bebas ponteng tanpa sebarang tindakan.
Justeru, kita meminta Parlimen segera meneliti akta berkaitan untuk membuat ketetapan supaya Ahli Parlimen ponteng sidang Dewan Rakyat dikenakan tindakan, termasuk potong gaji seperti disebut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Program Lawatan Kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat ke DUN Terengganu sempena Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Se-Malaysia 2024. Kita tidak mahu jawatankuasa dewan diwakili Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang melengah-lengahkan hal ini meskipun membabitkan batang hidung rakan sejawatan mereka sendiri.
Di negara maju seperti Jerman, Ahli Bundestag dipilih rakyat tetapi gagal menghadiri mesyuarat atau mengambil bahagian dalam undian ketika nama dipanggil, pendapatannya akan dipotong. Malah, hukuman lebih kurang sama dikenakan kepada rakan sejawatan mereka dari negara lain di Eropah seperti Sepanyol, Perancis, Greece dan Itali, manakala wakil rakyat di Belanda boleh kehilangan seluruh atau sebahagian gaji jika datang tidak tepat pada masanya atau gagal hadir tanpa alasan boleh diterima.
Bagaimanapun, sementara menunggu langkah wajar itu mempunyai punca kuasa, kita mencadangkan Dewan Rakyat, Dewan Negara dan DUN mewujudkan mekanisme pemantauan lebih ketat serta telus terhadap kehadiran dan sumbangan wakil rakyat dalam sesi perbahasan. Hakikatnya, rakyat sebagai pembayar cukai dan pengundi meletakkan mereka di kerusi empuk itu berhak mengetahui siapakah yang hadir dan ponteng serta jika tidak dapat berbuat demikian, apakah alasan dan justifikasi mereka.