KUALA LUMPUR: Impian untuk membawa ibunya menunaikan ibadah umrah menjadi realiti buat pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom dan peluang itu digunakan untuk mengubati kekecewaannya pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Shah Firdaus yang sebelum ini sebak kerana tidak dapat menunaikan janji untuk mengerjakan umrah bersama ibunya selepas gagal meraih emas dalam acara keirin berkata, dia nyata terkejut apabila ada pihak sudi menajanya.
Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) menawarkan pakej umrah kepada Shah Firdaus pada bila-bila masa dan tajaan itu disifatkan sebagai hadir tepat pada waktunya.
“Saya akan bincang dengan John Beasley (ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara) sebab selepas ini saya ada Kejohanan Dunia dan yang lain dan kita tengok nanti.
“Ini kerana (Tanah Suci) tempat terbaik untuk saya bertenang semula kerana dalam beberapa hari ini, saya tak tengok media sosial… tengok video perlumbaan yang orang tag saya, saya swipe banyak fasal perlumbaan. Saya tak nak ingat dan cuba melangkah ke hadapan, jadi saya rasa itu tempat terbaik saya (dengan menunaikan umrah).
“Hasrat saya nak pergi (menunaikan umrah), jadi ia tercapai juga. Mungkin ini… setiap yang berlaku ada sebabnya, jadi ini antara sebabnya. Saya akan pergi tahun ini juga.
“Saya akan pertimbangkan sama ada akan ke Kejohanan Dunia ataupun tidak, kalau tak ke Kejohanan Dunia (Oktober di Ballerup, Denmark), saya akan pergi umrah,” kata Shah Firdaus.