‘Tidak mustahil calon BN rampas kerusi DUN Nenggiri’ – Penganalisis politik

KOTA BHARU: Berbaki dua hari lagi tempoh berkempen sebelum hari pengundian Sabtu ini, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan isu tempatan termasuk pemilikan tanah KESEDAR menjadi topik paling hangat sepanjang tempoh berkempen.

Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN) masing-masing berbalas kenyataan berhubung isu pemilikan tanah selain isu penerokaan tanah di Gua Musang.

Penganalisis politik menyifatkan, suasana di PRK DUN Nenggiri jauh berbeza kerana isu tempatan lebih menonjol berbanding di PRK Sungai Bakap isu nasional terutama penyasaran subsidi yang lebih menjadi perhatian.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali, berkata pada awalnya beliau menjangkakan suasana PRK Nenggiri adalah sama sebagaimana di Sungai Bakap.

Namun, katanya, sepanjang tempoh berkempen dan kini berbaki dua hari lagi, isu tempatan jelas mendominasi walaupun Perikatan Nasional (PN) turut menyentuh isu penyasaran subsidi diesel dan kenaikan kos sara hidup.

“Boleh dikatakan persaingan isu antara PN dan BN agak sengit berbanding di PRK Sungai Bakap, BN lebih banyak menjadi barisan pertahanan dan menjawab pertuduhan daripada pihak lawan.

“Namun di PRK Nenggiri, BN turut bijak mencungkil isu selain menjawab dakwaan yang dibuat oleh pihak lawan menerusi ceramah yang diadakan setiap malam.

“Namun, serangan terhadap kedua-dua calon tidak berlaku sebagaimana di Sungai Bakap, sebaliknya serangan hanya berlaku membabitkan pimpinan parti masing-masing,” katanya.

Ditanya peluang yang diperoleh parti setakat ini, Mazlan berkata, apa yang boleh beliau katakan adalah dua-dua calon masih mempunyai peluang sama rata dan tidak nampak salah satu daripadanya lebih menguasai.

“Walaupun sedikit sukar untuk calon BN mahu merampas kerusi DUN Nenggiri, namun dengan momentum hari ini ianya tidak mustahil,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, katanya, kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beberapa kali sepanjang tempoh berkempen sedikit sebanyak memberi kelebihan dan diyakini mampu menarik undi.

“Malah, Timbalan Perdana Menteri juga memaklumkan akan menyelesaikan isu pemilikan tanah membabitkan peserta dan peneroka KESEDAR. Perkara ini yang dinantikan penduduk sejak sekian lama.

“Malah, pada pandangan saya pendekatan BN yang memfokuskan ceramah kelompok dan berjumpa pengundi lebih berkesan berbanding ceramah besar besaran yang diadakan oleh PN memandangkan DUN Nenggiri adalah kawasan kampung,” katanya.