KUALA SELANGOR: Jenazah Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cherakah, di sini, jam 6.40 petang tadi.
Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid Puncak Alam untuk disembahyangkan kira-kira 1,000 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai.
Solat jenazah diimamkan sepupu Allahyarham dan turut disertai bapa, Mokhtar Mahmood, 57.
Pada masa sama, kelihatan ibu Allahyarham, Irni Yusmira Istihat, 54, duduk di sisi kubur ketika pengebumian.
Malah, salah seorang ahli keluarga dilihat tidak dapat menahan kesedihan dan terpaksa ditenangkan Irni Yusmira.
Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki yang ditemukan di Sungai Klang, adalah Nidza Afham.
Mangsa dilaporkan hilang selepas keluar berjoging sebelum jasadnya ditemukan berhampiran Jalan Tepi Sungai, Solok Sungai, Taman Telok Pulai Indah, 7 malam semalam.
Hari ini, siasatan kes kematian Allahyarham tidak menemui sebarang unsur jenayah dan ia diklasifikasikan sebagai sebagai mati mengejut (SDR).
Hussein dilaporkan berkata, bedah siasat terhadap mayat lelaki itu tidak menemui kecederaan fizikal. Punca kematian masih menunggu laporan siasatan makmal.