Penempatan pegawai integriti inisiatif berkesan tangani isu rasuah

Kota Kinabalu: Penempatan pegawai integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan kementerian -kementerian di Sabah dilihat antara inisiatif berkesan dalam mambantumengesan pelbagai kes rasuah.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy berkata, pihaknya ketika ini masih menempatkan pegawai integriti bertauliah di semua kementerian di Sabah.

“Memang masih ada pegawai-pegawai integriti ditempatkan di unit-unit setiap kementerian

“Inisiatif ini memang berkesan kerana banyak maklumat-maklumat yang disalurkan kepada pegawai-pegawai integriti yang kita tempatkan ini.

“Contohnya, baru-baru ini Op Fly ‘pasport terbang’ yang kita jalankan di Sabah, itu adalah kolaborasi daripada pegawai integriti yang ditempatkan di Jabatan Imigresen.

“Ia antara kejayaan pasukan SPRM Sabah menerusi Ops Fly pada 17 Julai lalu. Kita berjaya merungkai sekali gus menumpaskan sindiket pemalsuan pasport atau ‘pasport terbang’ menerusi penahanan tiga anggota penguatkuasa melibatkan sebuah jabatan di negeri ini, ” katanya.

Karuna berkata demikian ketika ditemui media pada Program Bual Bicara dan Boling SPRM Bersama Media Sabah pada Rabu.

Turut hadir Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar.

Program Bual Bicara & Boling SPRM Bersama Media Sabah dihadiri lebih 30 pengamal media dari pelbagai organisasi media nasional dan tempatan.

Selain sesi dialog, acara disusuli dengan perlawanan boling persahabatan antara media dan pegawai SPRM Sabah.

Sementara itu, Karuna menyatakan pegamal media merupakan rakan strategik yang penting kepada SPRM Sabah dalam mendedahkan sebarang berita berkaitan salah guna kuasa mahupun rasuah.

Beliau berkata, hubungan kerjasama pengamal media dan SPRM amat penting kerana berita-berita berkaitan pendedahan kes rasuah yang dilaporkan pengamal media dilihat dapat membantu SPRM menjalankan siasatan lanjut.

-Tamat-

From: Nazllie