Shah Alam: Tidak sampai tempoh 24 jam perangkap dipasang, buaya di Taman Tasik Seksyen 7 di sini, berjaya ditangkap malam tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, buaya berkenaan dikesan memasuki perangkap pada 10.30 malam.
“Buaya yang kita selamatkan malam ini adalah buaya tembaga jantan sepanjang 1.68 meter yang berusia tiga ke lima tahun dengan anggaran berat 15 hingga 20 kilogram.
“Ini adalah operasi menyelamatkan buaya paling pantas yang kita lakukan kerana tidak sampai 24 jam perangkap dipasang, ia sudah memakan umpan segar yang kita letak.
“Saya kira antara yang membantu kita dapat menyelamatkan buaya ini dengan pantas kerana kita kaji dulu perilaku hidupan liar ini,” katanya pada sidang media di lokasi tangkapan buaya, sebentar tadi.Mengulas lanjut, Wan Mohd Adib berkata, tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup taman tasik bermula malam tadi juga mendorong reptilia itu memasuki perangkap kerana suasana sunyi dan tiada gangguan.
Katanya, Perhilitan juga akan meminta MBSA terus menutup taman tasik itu pada waktu malam bagi tempoh sehari dua ini bagi membolehkan pihaknya membuat pemantauan untuk memastikan tiada buaya lain di kawasan berkenaan.
“Buaya ini kita akan pindahkan ke Paya Indah Wetlands malam ini juga,” katanya.
Turut hadir pada operasi menyelamatkan buaya berkenaan adalah Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim; Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.
Terdahulu, operasi mengangkat naik perangkap buaya itu bermula 11.25 malam dan kerja mengeluarkan buaya daripada perangkap selesai sepenuhnya pada 12.05 tengah malam.
Terdahulu, kawasan sekitar Tasik Seksyen 7 ditutup sementara mulai 8 malam bagi memberi laluan kepada operasi menangkap buaya oleh Perhilitan Selangor.
Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam kenyataan memaklumkan penutupan sementara itu bermula jam 8 malam hingga reptilia itu ditangkap.