Yang di-Pertuan Agong terima menghadap Perdana Menteri China

BEIJING: Yang di-Pertuan, Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri China, Li Qiang di Dewan Timur, Great Hall of the People, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada 3.20 petang di Great Hall of the People itu diiringi Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Turut mengiringi Yang di-Pertuan Agong ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Ketua Setiausaha Kementerian Luar,Datuk Seri Amran Mohamed Zain dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Sultan Ibrahim yang menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu, mengadakan lawatan negara sulung ke China bermula semalam hingga Ahad ini atas jemputan Presiden China Xi Jinping.

Pada pertemuan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan sukacita berada di sini untuk lawatan negara dan berbesar hati dengan sambutan mesra, layanan dan aturan lawatan yang disediakan.

“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan atas ucapan tahniah yang disampaikan kepada saya dan isteri selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 30 Julai 2024.

“Tahun ini, Malaysia dan China meraikan pencapaian penting iaitu ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah pada 1974, sejarah tercipta apabila Malaysia menjadi negara ASEAN pertama menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.

“Wawasan Tun Abdul Razak telah meletakkan asas untuk persahabatan yang berkekalan dan bermanfaat, dengan hubungan dua hala berkembang pesat dalam pelbagai bidang selama 50 tahun yang lepas,” titah Seri Paduka Baginda.

Lawatan Yang di-Pertuan Agong ini melambangkan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China yang terus berkembang sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada 2013.

– BERNAMA