‘Bekas ahli politik yang terjun semula dalam bidang politik dan sertai parti lain bukan satu kejutan’ – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR: “Bekas ahli politik yang berkecimpung semula dalam bidang politik selepas beberapa tempoh menyepi dan sertai parti lain bukan satu kejutan,” kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO mengulas mengenai tindakan bekas Ketua UMNO Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang muncul semula selepas hampir dua tahun menyepi daripada politik, namun kini bersama PKR.

“Saya rasa bukan sesuatu yang pelik sebab dia (Zahidi) daripada UMNO, dan daripada UMNO dia pergi BERSATU kemudian pergi ke PKR. Jadi, tiada apa-apa kejutan.

“Kalau dia sebelum ini belum pernah melompat ke parti lain, ia mungkin satu kejutan buat kita. Tapi, sebab dia pernah melompat ke parti BERSATU dan kemudian ke PKR. Ini perkara biasa bagi dia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya Empowering De’Tea Logue, di Sime Darby Convention Centre (SICC), hari ini.

Turut hadir, barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Pengurus Besar YP Advanced Skills, Nor Liza Abd Mubim.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai gesaan Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya gabungan parti yang sudah berusia 50 tahun itu perlu melepaskan ego demi mencapai kepentingan politik negara, Wan Rosdy berkata parti perlu mencipta perubahan supaya sentiasa kelihatan releven.

“Parti kita kena nampak relevan selalu… Kita perlu mencipta perubahan supaya nampak releven dan kewujudan kita diterima oleh masyarakat,” katanya ringkas.

Pada sambutan Jubli Emas Barisan Nasional (BN) kelmarin, Zahid mahu gabungan itu melepaskan ego demi kepentingan politik negara, menekankan bahawa BN mesti bersedia mencipta perubahan yang melangkaui kepentingan parti dalam mengatur agenda politik.

Presiden UMNO itu juga menggariskan tiga kerangka yang perlu dirungkai bersama untuk BN bergerak ke hadapan, iaitu penjenamaan semula yang mesti mencerminkan transformasi selari dengan cabaran semasa melalui pendekatan proaktif, inklusif dan inovatif.