PUTRAJAYA: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang disabitkan membantu menggelapkan berbilion dolar daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau tidak dituduh berkonspirasi dengan Datuk Seri Najib Razak di mahkamah Amerika Syarikat (AS).
Bekas Ketua Perbankan Pelaburan Goldman Sachs Malaysia itu, berkata demikian ketika memberikan keterangan sebagai saksi pembelaan ke-25 pada perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib yang juga bekas perdana menteri.
Roger disabitkan dengan tiga tuduhan konspirasi berkaitan transaksi 1MDB di Mahkamah Persekutuan Brooklyn (Eastern District Court) pada 9 Mac 2023 dan dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara oleh Hakim Margo Brodie.
Dalam keterangan hari ini, Roger yang didakwa bersama-sama dengan bekas rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner dan ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low), berkata, beliau menafikan berkonspirasi merasuah seseorang dan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram, pada pembelaannya di mahkamah AS.
Saksi itu yang dibawa pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan pihak berkuasa, berkata beliau juga sangat menyalahkan Leissner dan Jho Low yang kini sedang diburu pihak berkuasa Malaysia, berhubung transaksi 1MDB.
Saksi itu yang menjawab soalan peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata beliau sedang menunggu keputusan rayuan terhadap sabitannya.
Ketika ditanya oleh Muhammad Shafee sama ada beliau atau seorang daripada mereka berkonspirasi dengan Najib dalam tuduhan itu, Roger menjawab, “saya tidak fikir begitu.”
Beliau bersetuju dengan peguam bela bahawa tuduhan terhadapnya adalah konspirasi melanggar amalan rasuah dengan merasuah pegawai kerajaan asing, konspirasi untuk memintas kawalan akaun dalaman Goldman Sachs dan melakukan aktiviti pengubahan wang haram.
Disoal lanjut sama ada beliau ada membangkitkan amaran mengenai Jho Low kepada Goldman Sachs, saksi itu menjawab, “Ya.”
Pada peringkat itu, Roger berkata, beliau mahu mengambil perhatian mahkamah mengenai perintah perlindungan daripada mahkamah AS yang masih terpakai kepadanya, di mana beliau tidak boleh menyentuh atau membincangkan mengenai perbicaraan di mahkamah itu, terutama apabila ia membabitkan mengenai dokumen yang dikemukakan di sana.
Apabila disoal, adakah Jho Low seseorang yang beliau hendak elakkan dan sama ada Goldman Sachs membuat apa-apa tindakan (berikutan amaran mengenai Jho Low), Roger berkata, beliau tidak boleh menjawab soalan berkenaan.
Saksi itu juga enggan menjawab apabila disoal lanjut oleh Muhammad Shafee sama ada soalan terbabit tertakluk kepada perintah perlindungan.
Sementara itu, Roger berkata, beliau mengenali Jho Low, sejak penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) pada 2009, yang kemudiannya dinamakan sebagai 1MDB.
Beliau berkata, pada tahun berkenaan, ada desas desus bahawa kerajaan Terengganu mahu menubuhkan dana kekayaan negara, di mana beliau ketika itu bekerja di bahagian Perbankan Pelaburan Goldman Sachs.
Muhammad Shafee: Adakah betul untuk menyatakan bahawa Jho Low mendekati anda untuk berhubung dengan Goldman Sachs?
Roger: Bagi proses penerimaan pelanggan di Goldman Sachs, pada ingatan saya ialah kami biasanya terbabit dengan bakal pelanggan. Kami sentiasa mencari pelanggan berpotensi. Saya tidak ingat siapa yang mendekati siapa dahulu, tetapi secara umum, ia adalah proses bersama.
Roger berkata demikian pada perbicaraan kes Najib yang membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada sesi petang.

