IPOH: Sindiket penjualan judi loteri awam tanpa lesen di bandaraya ini tumpas susulan penahanan empat individu termasuk seorang wanita dalam tiga serbuan berasingan di sini, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata mereka yang ditahan dalam serbuan ke atas tiga rumah yang berperanan sebagai ‘counting centre’ atau pusat pengiraan wang hasil loteri awam haram itu, berusia antara 50 hingga 70an.
Katanya, pemeriksaan mendapati semua premis itu didalangi oleh ejen judi yang terbabit secara langsung dengan penganjur sindiket loteri haram dikenali sebagai sindiket ‘Mushroom’, dengan ia dipercayai mula aktif sejak 2020.
“Ejen dipercayai menggunakan premis rumah sebagai ‘counting centre’ wang hasil loteri itu, dengan hasil kutipan terkumpul bagi tiga premis dipercayai mencecah nilai RM5 juta sebulan,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Sidang Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Noor Hisam berkata hasil siasatan lanjut mendapati setiap ejen diberikan nilai kredit dalam bentuk `pool’ sebanyak RM4 juta setiap bulan oleh penganjur sebagai had pertaruhan loteri awam haram itu untuk sesuatu bulan.
“Jadi bagi setiap rumah yang diserbu itu sindiket memperuntukkan RM4 juta untuk wang pertaruhan jika ada yang dapat atau ‘kena’, namun sekiranya tiada yang kena, RM4 juta itu akan dibawa ke bulan seterusnya.
“Polis juga berjaya mengenal pasti beberapa subejen, ejen dan penganjur sindiket Musroom itu yang masih bergiat aktif di Ipoh, yang mana tindakan tegas seterusnya akan diambil untuk menumpaskan sindiket itu sepenuhnya,” katanya.
Noor Hisam berkata serbuan ke atas tiga premis berasingan sekitar Ipoh itu dijalankan serentak oleh sepasukan polis daripada Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, berpandukan maklumat orang awam serta risikan yang dijalankan.
Menurutnya, rampasan turut dilakukan terhadap beberapa barang kes antaranya set komputer (2), telefon bimbit (5), kad kredit (4), kad debit (4), buku catitan (4), serta slip loteri awam tanpa lesen (10), di samping wang tunai RM110,119.
“Kita masih mengesan untuk kawasan lain yang disasarkan sindiket ini, kerana kita percaya ada kawasan kediaman lain yang disasarkan oleh mereka.
“Tentunya ada ‘tauke’ besar, atau pembiaya di belakang mereka, di samping subejen yang bergerak secara ‘mobile’.
“Sekarang mereka lebih mudah kerana berbanding menulis di atas kertas seperti dahulu, kini mereka menggunakan aplikasi yang justeru lebih sukar untuk kita mengumpulkan bukti,” katanya.
Noor Hisam berkata kes kini disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 atau lima tahun penjara jika sabit kesalahan.
Sementara dalam perkembangan lain, Noor Hisam berkata JSJ Perak berhasil menahan seramai 119 individu dalam 87 serbuan menerusi Op Mega Cantas Khas bagi tempoh antara 21 hingga 26 April 2025 di seluruh negeri.
Katanya, penahanan menerusi operasi khas yang membabitkan Bahagian D4, D7, D9, dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) itu membabitkan 13 kes jenayah kekerasan, 24 kes jenayah harta benda, dan 50 lain-lain kesalahan non-indeks.
“Secara keseluruhan kita memeriksa dan melakukan dokumentasi kepada seramai 1,180 orang yang merangkumi lelaki, wanita, warga tempatan, mahupun warga negara asing,” katanya.

