SINGAPURA: Calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Gigene Wong, telah mengemukakan dua permohonan maaf susulan kenyataannya yang berbaur perkauman terhadap rakan sepasukan, Ariffin Sha.
Difahamkan, kenyataan berbaur perkauman itu terkandung , dalam satu ceramah di Sekolah Rendah Evergreen pada malam Sabtu lalu.
Dalam catatan Facebook pada malam yang sama, Dr Wong, 59, memohon maaf atas penggunaan istilah yang ‘menyinggung masyarakat India’, sambil menyatakan bahawa beliau ‘tidak menyedari makna sebenar’ di sebalik kata tersebut.
“Saya benar-benar memohon maaf!” katanya.
Dalam catatan kedua pada pagi Ahad, Dr Wong sekali lagi memohon maaf, menyifatkan kenyataannya itu sebagai tidak menghormati Ariffin.
“Saya juga faham ia menyinggung masyarakat India. Ahli parti telah menasihati saya mengenai perkataan itu dan kini saya faham ia adalah sesuatu yang menghina.
“Kenyataan saya sangat menyakitkan dan tidak boleh diterima. Saya bertanggungjawab sepenuhnya.
“Ucapan asal yang telah disemak tidak mengandungi kenyataan tersebut dan ia berlaku secara spontan. Tiada alasan dan saya mohon maaf atas segala kesakitan dan kemarahan yang saya timbulkan,” katanya lagi.
Semasa ceramah, Dr Wong, yang berucap dalam campuran bahasa Mandarin, Inggeris dan Hokkien, telah menggunakan istilah ‘keling kia’ bagi merujuk kepada Ariffin.
Beliau juga menyifatkan calon berusia 27 tahun itu sebagai ‘Pritam Singh’ (Setiausaha Agung Parti Pekerja yang juga ketua pembangkang) masa depan kerana kepetahannya berucap.

Istilah ‘keling kia’ adalah kata hinaan dalam bahasa Hokkien terhadap masyarakat India.
Dr Wong turut tersilap sebut nama Ariffin beberapa kali, tidak pasti secara tidak sengaja atau sebaliknya, apabila menyebutnya sebagai ‘elephant’ (gajah).
Dalam ucapannya juga, Dr Wong menyeru pengundi GRC Marsiling-Yew Tee agar menyokong SDP supaya pasukan yang bertanding tidak kehilangan wang deposit pilihan raya, dan Ariffin tidak ‘dimarahi ibunya’.
Dr Wong dan Ariffin adalah antara empat calon SDP yang bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee, bersama Setiausaha Pengelola SDP Jufri Salim dan pengarah teater Alec Tok.
Secara keseluruhan, SDP menurunkan 11 calon bagi empat kawasan pilihan raya pada pilihan raya akan datang pada 3 Mei iaitu di GRC Marsiling-Yew Tee, GRC Sembawang, SMC Sembawang West dan SMC Bukit Panjang.
Seramai lapan individu berucap dalam ceramah di Sekolah Rendah Evergreen, yang terletak di SMC Sembawang West, termasuk Pengerusi SDP, Paul Tambyah dan Setiausaha Agung, Chee Soon Juan.
Ariffin, yang tidak berucap pada malam Sabtu, adalah pengasas portal berita alternatif Wake Up Singapore.
Ini adalah penampilan sulung pilihan raya bagi Ariffin, yang sebelum ini menjadi Penolong Setiausaha Agung Parti Rakyat Singapura (SPP) sebelum dilaporkan meletak jawatan pada 2020.
Dr Wong pula pernah menjadi calon Parti Kemajuan Singapura (PSP) di SMC Hong Kah North pada tahun yang sama. – AGENSI

