Maguire ibarat Ronaldinho

MANCHESTER: Aksi Harry Maguire sebagai penyerang bidan terjun dalam kemenangan 3-0 Manchester United ke atas Athletic Bilbao pada aksi separuh akhir pertama Liga Europa mencetus sensasi, sehingga ramai peminat menyamakan pemain pertahanan itu dengan legenda Brazil, Ronaldinho.

Maguire mencipta gerakan yang membawa kepada jaringan pembukaan Casemiro menerusi hantaran silang tepat selepas menggelecek pemain lawan.

Aksi itu menjadi perbualan hangat di media sosial, malah nama jolokan “Harrydinho” mula tular.

Di laman Reddit Soccer, hantaran mengenai bantuan jaringan oleh Maguire menjadi yang paling popular dengan komen utama berbunyi: “Anda adalah pemain sayap, Harry!”

Rakan sepasukan, Amad Diallo turut memeriahkan suasana dengan memuat naik gambar wajah Maguire yang disunting dengan rambut panjang ala Diego Maradona di Instagram.PauseNextMute

“Apa seorang pemain sayap! Saya sendiri tak sangka dia ada skil seperti itu,” kata kapten pasukan, Bruno Fernandes yang turut meledak dua gol dalam perlawanan itu.

“Harry kini jauh lebih yakin. Posisinya makin kukuh, dia pemimpin yang baik dan kami harap dia terus berkembang.”

Aksi Maguire yang meloloskan diri dua kali daripada kawalan Mikel Jauregizar sebelum menghantar hantaran silang itu turut dipuji bekas pemain sayap Tottenham Hotspur, Andros Townsend.

Pengurus United, Ruben Amorim turut tidak ketinggalan menyampaikan pujian terhadap pemain berusia 32 tahun itu.

Bagaimanapun, Maguire merendah diri ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan.

“Saya berada di posisi serangan. Saya rasa (Alejandro Garnacho) Garna yang beri saya bola.

“Saya cuba menggelecek dan lakukan hantaran. Nasib baik ada ramai pemain kami di dalam kotak penalti yang percayakan saya,” katanya.

United yang masih belum tewas dalam sebarang aksi Eropah musim ini meskipun bergelut di pentas domestik, akan melayan kunjungan Bilbao di Old Trafford pada aksi timbal balik minggu depan. – REUTERS