Peniaga direman 2 hari selepas rosakkan tiga mesin palang parkir di Kangar

KANGAR: Seorang peniaga direman dua hari bagi membantu siasatan kejadian laku musnah membabitkan kerosakan tiga mesin palang automatik parkir berbayar di Jalan Seruling dan Jalan Market Kangar, di sini semalam.

Perintah reman sehingga esok itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Nur Syafina Aina Zamri selepas lelaki berusia 62 tahun dibawa ke mahkamah sekitar jam 8.30 pagi.

Suspek diwakili peguam S Devandran dan Zuhair Ahmad Zakuan.

Pegawai penyiasat pada mulanya memohon mahkamah menetapkan tempoh reman selama empat hari namun dibantah. Nur Syafina kemudian menetapkan tempoh reman kepada dua hari sahaja.

Semalam, suspek yang turut mempunyai perniagaannya di Jalan Seruling, di sini, ditahan di hadapan sebuah bank di Jalan Raja Syed Alwi, di sini selepas polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan yang dipercayai berlaku sekitar jam 8.50 pagi, hari sama.

Penahanan suspek sekitar jam 2.36 petang, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pengadu yang juga kakitangan syarikat pengendali parkir berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata dalam tangkapan itu juga, pihaknya turut merampas pikap jenis Nissan Navara berwarna kelabu serta alat kawalan jauh kenderaan itu.

Katanya, pengadu yang juga juruteknik syarikat pengendali parkir mendapati tiga unit perkakas elektronik merangkumi tiga mesin palang automatik, dua kamera ANPR dan tiga penghadang dilanggar secara sengaja di Jalan Seruling, Jalan Market Kangar dan laluan keluar di belakang bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan laluan masuk di hadapan Maybank.

“Menerusi siasatan awal kita, suspek mengaku melakukan perbuatan itu kerana tidak berpuas hati dengan pemasangan sistem parkir berpalang automatik itu yang dipercayai menyebabkan perniagaannya merosot dan rugi besar besar. Kerugian dianggarkan bernilai RM30,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya.