MAIS nafi pemulihan akidah bekas ahli GISBH hanya tumpu pengajian tajwid

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menafikan dakwaan yang tular melalui media sosial bahawa proses pemulihan akidah bekas ahli GISB Holdings (GISBH) hanya tertumpu kepada pengajian tajwid.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata Program Insan Rabbani bertujuan memulihkan akidah bekas ahli GISBH telah diluluskan pada 4 Februari lalu sejajar fatwa diwartakan pada 16 Oktober 2024 bahawa fahaman, ajaran atau amalan ahli GISBH dan rangkaiannya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Beliau berkata Program Insan Rabbani satu daripada program pemulihan MAIS yang memberi fokus kepada pemulihan akidah kepada bekas ahli GISBH dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), bermula pada 15 Februari lalu hingga Ogos depan.

“Program ini dilaksanakan setiap Ahad sebanyak 24 siri selama empat jam di empat lokasi, iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Country Homes, Rawang; Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam; SRA Sijangkang, Kuala Langat dan SRA Sungai Kantan, Kajang yang melibatkan 51 guru bertauliah.

“Pengisian program merujuk kepada Modul Istitabah yang telah diluluskan oleh MAIS pada 2013 dengan memberi fokus kepada pengajian ilmu al-Quran, akidah, tasawuf dan fikah kepada individu dewasa bekas ahli GISBH,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi pengajian al-Quran, Ahmad Shahir berkata peserta belajar mendalami ilmu al-Quran termasuk tajwid untuk memahami dan menambah baik bacaan kitab suci umat Islam itu.

Beliau berkata pengajian akidah pula merangkumi asas ilmu akidah dan pemahaman yang benar tentang sifat-sifat Allah SWT, rasul serta yang berkaitan dengannya manakala pengajian tasawuf melibatkan penyucian hati dan sifat-sifat mahmudah.

Pengajian fikah pula merangkumi solat dan perkara-perkara berkaitan berdasarkan mazhab Imam Syafie, katanya.

Ahmad Shahir berkata untuk kanak-kanak bekas ahli GISBH, pihaknya menggunakan Modul Pendidikan Insani JAIS, antara lain bertujuan membentuk keperibadian dan mengembangkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh dan bersepadu berlandaskan wahyu Allah dan sunah Rasulullah SAW dengan pengisian akidah, ibadah dan akhlak.

“Oleh itu, hantaran di media sosial yang menyatakan bahawa proses pemulihan akidah bekas ahli GISBH hanya tertumpu kepada pengajian tajwid semata-mata adalah tidak berasas dan tidak tepat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan 2,474 bekas ahli GISBH termasuk 1,410 kanak-kanak menyertai Program Insan Rabbani yang dijalankan bermula pada 15 Februari lalu hingga Ogos ini membabitkan beberapa fasa pemulihan.