KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengatur proses rakam keterangan anak Datin Seri Pamela Ling Yueh yang kini berada di Singapura bagi membantu siasatan kehilangan wanita itu sejak 9 April lalu dengan bantuan Polis Antarabangsa (INTERPOL).
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed, berkata rakaman percakapan akan dijalankan di Kedutaan Malaysia di Singapura dalam tempoh terdekat.
“Rakaman percakapan anak-anak mangsa sedang diatur oleh pihak INTERPOL untuk dirakam di Kedutaan Malaysia di Singapura dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, polis sudah merakam keterangan daripada 25 individu bagi membantu siasatan berhubung kehilangan Pamela.
“Setakat ini, seramai 25 rakaman percakapan saksi sudah dirakam,” katanya.PauseNextMute
Dalam pada itu, beliau berkata, polis juga sudah memperoleh lakaran wajah (fotofit) salah seorang suspek berdasarkan maklumat saksi serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Lakaran wajah fotofit suspek sudah diperoleh dan hasil padanan fotofit adalah 40 peratus,” katanya lagi.
Pada 9 April lalu, Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM dengan menaiki kenderaan e-hailing untuk memberi keterangan berhubung satu siasatan yang sedang dijalankan.
Pihak polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada jam 3.02 petang hari yang sama.
Difahamkan, Pamela tinggal di Singapura bersama tiga anak terdiri seorang lelaki serta dua perempuan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, dalam sidang media, kelmarin memaklumkan sekurang-kurangnya lapan individu dan lima kenderaan terbabit dalam penculikan Pamela.
Katanya, antara kenderaan digunakan termasuk dua Nissan Teana serta masing-masing sebuah Toyota Camry, Perodua Myvi dan Nissan Almera.
“Tiga kenderaan dikenal pasti menghalang laluan kereta e-hailing dinaiki mangsa, manakala dua lagi bertindak memantau persekitaran. Sebahagian daripada nombor pendaftaran kenderaan didapati palsu dan diklon daripada kenderaan lain yang sedang digunakan oleh pemilik asal.
“Dua suspek memakai vest menyerupai anggota polis dan dipercayai menyamar bagi mengaburi mangsa serta orang awam di lokasi kejadian. Rakaman CCTV turut menunjukkan mangsa dilihat akur keluar dari kenderaan dan menaiki salah satu kereta suspek tanpa sebarang pergelutan, manakala pemandu e-hailing hanya menurut arahan suspek termasuk menyerahkan MyKad dan menandakan perjalanan sebagai selesai dalam aplikasi,” katanya,
Rusdi berkata, siasatan dengan Jabatan Imigresen Malaysia mendapati tiada rekod menunjukkan Pamela meninggalkan negara, dan pihaknya percaya wanita itu masih berada dalam Malaysia.

