KULIM: Jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Allahyarham Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam (B) Masjid Tunku Abdul Rahman Putra, di sini, jam 11 pagi tadi.
Terdahulu, jenazah dibawa dari Surau Ar-Rahman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebelum dibawa ke Markas FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh, Perak.
Jenazah Akmal Wafi tiba di kediaman keluarganya di Taman Pegaga, Lunas pada jam 6.30 pagi untuk penghormatan terakhir buat keluarga dan rakan Allahyarham.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Tunku Abdul Rahman Putra pada jam 10 pagi untuk solat jenazah yang diimamkan oleh Shahril Adzhar Abu Samah sebelum dibawa menaiki van jenazah Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke tanah perkuburan.
Jenazah Allahyarham turut diiringi dan diusung oleh anggota pasukan FRU untuk dikebumikan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan menyampaikan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham Akmal Wafi, Annuar Yusof, 55.
Lebih 200 orang hadir terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan yang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Allahyarham yang masih bujang adalah anak sulung daripada lima beradik.
Akmal Wafi adalah antara sembilan anggota lain yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di sini, pagi semalam.
Kemalangan itu turut mengakibatkan sembilan anggota FRU cedera dan kini sedang dirawat di Hospital Teluk Intan.
Semua mangsa adalah daripada FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh dan ketika kejadian trak dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.

