RAUB: Polis menahan tiga lelaki yang disyaki menceroboh ke dalam kawasan Hutan Simpan Rotan Tunggal, Kampung Seng Lee di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Sharil Abdul Rahman, berkata terdahulu pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung perkara itu, sebelum sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub bersama anggota dari Balai Polis Tranum Tras bergegas ke lokasi.
Beliau berkata, hasil pemantauan dan rondaan dilakukan sehingga jam 12 tengah hari, polis menahan tiga individu iaitu dua lelaki warga China dan seorang warga Indonesia ketika sedang menunggang motosikal dan menceroboh kawasan hutan simpan berkenaan.
“Ketiga-tiga suspek ditahan di lokasi dan pihak polis segera menghubungi Pejabat Hutan Raub untuk tindakan lanjut.
“Selepas kakitangan daripada Pejabat Hutan Raub tiba di lokasi, mereka mengesahkan tangkapan itu berlaku dalam kawasan Hutan Simpan Rotan Tunggal, Kampung Seng Lee dan sememangnya terdapat aktiviti pencerobohan tanah di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semua suspek dibawa ke IPD Raub untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 88(1) Akta Perhutanan Negara 1984.
“Kita memandang serius terhadap sebarang bentuk pencerobohan kawasan hutan simpan dan akan terus menjalankan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan pencerobohan hutan diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Raub di talian 09-355 2222,” katanya.

