KUALA LUMPUR: Pelumba muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli meluahkan keyakinan bahawa gelaran keseluruhan kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) pada musim ini berada dalam jangkauannya.
Selepas melengkapkan dua pusingan pertama kejuaraan itu di Jerez, Sepanyol dan Le Mans, Perancis, pelumba berusia 17 tahun itu kini menghuni tangga teratas carta keseluruhan RBMRC selepas mengumpul keseluruhan 80 mata hasil empat penamat di kedudukan naib juara secara berturut-turut.
“Sasaran saya adalah untuk kekal konsisten dan cuba sebaik mungkin untuk menjadi juara keseluruhan. Insya-Allah, saya akan berusaha dengan sehabis baik dalam baki 10 pusingan yang masih ada,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini, selepas lebih dua bulan berada di Eropah.
Selain RBMRC, Hakim turut beraksi dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) pada musim ini dan turut meraih keputusan memberangsangkan apabila menamatkan perlumbaan pembukaan di Estoril, Portugal di tempat kedua.
“Saya sebenarnya tidak menjangka untuk mendapat tempat kedua dalam semua perlumbaan tapi saya bersyukur kerana berjaya menamatkan semua perlumbaan di atas podium. Alhamdulillah,” katanya yang turut mendapat gelaran MR P2 hasil kejayaan itu.
Menurut Hakim Danish, kejayaannya musim ini adalah hasil kerja keras dan komitmen yang tinggi untuk memperbaiki prestasinya berdasarkan pengalamannya di kedua-dua kejuaraan itu sebelum ini.
“Setiap tahun saya sasar untuk meningkatkan prestasi, jadi saya banyak belajar daripada perlumbaan musim lalu. Saya analisis semula apa yang kurang dan cuba baiki kelemahan. Tahun ini saya dapat rasakan saya lebih bersedia dari segi fizikal dan mental,” katanya.
Hakim Danish turut mengenal pasti dua pelumba yang menjadi pencabar utama dalam perebutan kejuaraan iaitu Brian Uriarte dari Sepanyol dan Veda Ega Pratama dari Indonesia.
“Saya hanya fokus pada latihan dan pastikan saya beri 100 peratus, baik dalam perlumbaan mahupun sesi latihan,” katanya yang disambut oleh ahli keluarga dan pihak pengurusan ZK Racing sebaik tiba di tanah air.

