Sidang Kemuncak ASEAN: Rapid KL lanjut operasi rel pada waktu puncak

KUALA LUMPUR: Rapid KL akan melanjutkan tempoh operasi rel dan menambah kekerapan operasi tren di sekitar Lembah Klang bermula 23 hingga 27 Mei ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Langkah itu bagi menyokong kelancaran pergerakan penumpang serta delegasi rasmi sepanjang tempoh persidangan yang diadakan di ibu kota dan Putrajaya.

Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan hari ini, memaklumkan waktu puncak perkhidmatan rel pada hari bekerja sempena Sidang ASEAN dilanjutkan satu jam lebih awal berbanding hari biasa.

“Waktu puncak baharu itu ditetapkan mulai jam 6.30 pagi hingga 10 pagi dan jam 4.30 petang hingga 8 malam, berbanding waktu puncak biasa iaitu jam 7 pagi hingga 9.30 pagi dan 5 petang hingga 7.30 malam.

“Kekerapan operasi tren pada Sabtu dan Ahad iaitu 25 dan 25 Mei turut dipertingkatkan bagi menampung bilangan penumpang yang dijangka bertambah pada minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi laluan Ampang/Sri Petaling, tren akan beroperasi setiap empat minit, berbanding lima minit hari biasa.

Tren laluan Kelana Jaya akan tiba setiap lima minit berbanding tujuh minit serta laluan Monorel, Kajang dan Putrajaya akan tiba setiap lapan minit berbanding 10 minit hari biasa.

Menurutnya, seramai 400 kakitangan tambahan turut ditempatkan di stesen rel terpilih bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang sepanjang tempoh terbabit.

Dalam pada itu, beberapa laluan bas dan perkhidmatan Rapid KL On-Demand dijangka mengalami kelewatan susulan penutupan jalan secara berperingkat oleh pihak berkuasa di lokasi terbabit.

Antara laluan yang dijangka terkesan termasuk Laluan 402 (LRT Titiwangsa – LRT Maluri), 302 (LRT Titiwangsa – KLCC), 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang), 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang) serta Rapid KL On-Demand yang membabitkan Zon Titiwangsa ke Chow Kit.

“Kami menyarankan penumpang supaya merancang perjalanan lebih awal serta memantau notifikasi terkini melalui media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi PULSE.

“Orang ramai juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi memudahkan pergerakan ke kawasan tumpuan dan membantu melancarkan trafik sepanjang tempoh persidangan serta acara berskala besar di ibu negara,” katanya.