KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas Presiden Pas, Ahmad Fauwaz Fadzil telah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu berkuat kuasa 23 Mei lalu.
Beliau menggantikan bekas Mufti Wilayah Persekutuan terdahulu, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah yang menamatkan perkhidmatannya sebagai mufti baru-baru ini.
Pelantikan pendakwah yang juga anak kepada Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor itu diumumkan melalui Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Ketua Pengarah dan seluruh warga JAKIM merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz atas pelantikan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan berkuat kuasa mulai 23 Mei 2025,” kata kenyataan yang sama.
Ahmad Fauwaz merupakan Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan memiliki kelulusan dalam bidang syariah dari Universiti Al-Azhar serta Universiti Malaya selain menjalani latihan kefatwaan di Dar al-Ifta, Mesir.
Pada Oktober lalu, kerajaan melantik Ahmad Fauwaz Fadzil sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas bagi menyediakan sukatan pelajaran pemulihan akidah mangsa dan pengikut GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Ahmad Fauwaz juga merupakan adik kepada Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pelantikan Ahmad Fauwaz Fadzil mencerminkan keyakinan tinggi kepimpinan negara terhadap kebolehan dan kewibawaannya mengemudi institusi fatwa negara dengan penuh integriti dan hikmah.
Tambah Mohd Na’im, pendakwah terbabit juga aktif menyumbang dalam pelbagai institusi termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, MAIWP, institusi kewangan dan akademik.
Beliau menyifatkan kepakaran Ahmad Fauwaz dalam bidang usul figh, figh muamalat, figh perubatan serta kefahaman figh kontemporari amat diperlukan dalam membentuk dasar-dasar hukum Islam seimbang berlandaskan maqasid syariah dan selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan dan semoga ALLAH SWT memberkati pelantikan itu dan memberikan kekuatan kepada beliau untuk menjalankan amanah dengan penuh hikmah, integriti dan istiqamah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

