PENN 2.0 dilancarkan dengan peruntukan tambahan RM50 juta

PETALING JAYA: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memberi peruntukan tambahan RM50 juta bagi pelaksanaan program PENN 2.0 (Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan dana PENN yang diperkenalkan sejak tahun lalu mencecah RM100 juta.

Beliau berkata, melalui PENN 2.0, peminjam daripada wanita komuniti India juga dibenar membuat pinjaman kali kedua dengan nilai pinjaman daripada RM3,000 hingga RM30,000.

“Tambahan dana dibuat selepas kejayaan PENN (Fasa 1) yang terbukti memberi manfaat kepada 6,247 wanita India dengan jumlah pembiayaan dikeluarkan sebanyak RM42,725,640.

“Daripada 6,247 yang menerima dana ini, seramai 1,062 adalah usahawan baharu,” katanya selepas melancarkan PENN 2.0 yang turut dihadiri lebih 1,000 Sahabat Usahawan Wanita India AIM hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah AIM, Mohd Najib Mohd Noor dan Pengarah Urusan AIM, Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz.

PENN 1.0 yang dilancarkan pada 14 April 2024, adalah inisiatif kerajaan melalui AIM sebagai agensi pelaksana untuk memperkasa golongan wanita India khususnya dalam bidang keusahawanan.

Untuk rekod, AIM menyalurkan lebih RM35.9 bilion kepada rakyat Malaysia, khususnya wanita dalam usaha berterusan membebaskan golongan miskin dan berpendapatan rendah keluar daripada kemiskinan, sejak ia ditubuhkan.

Pada masa sama, Ramanan berkata, dengan suntikan dana tambahan itu, AIM menyasarkan peluasan manfaat program kepada lebih 10,000 usahawan wanita India di seluruh negara.

Beliau berkata, pengumuman tambahan peruntukan RM50 juta itu dijangka memberi peluang kepada lebih ramai wanita India membabitkan diri dalam bidang perniagaan, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup mereka serta keluarga.

“Tambahan dana ini bukan saja membuka ruang kepada penyertaan baharu, malah mengukuhkan lagi sokongan kepada peserta sedia ada untuk mengembangkan perniagaan kecil-kecilan mereka dalam pelbagai sektor termasuk makanan, jahitan, kecantikan dan perkhidmatan komuniti,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan Sahabat Usahawan yang menerima pembiayaan PENN berjaya meningkatkan pendapatan antara 20 hingga 30 peratus berbanding sebelumnya.

Katanya, kejayaan AIM dalam membantu usahawan sememangnya terbukti apabila kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) pada tahun lalu hanya 0.02 peratus, paras terendah sepanjang 38 tahun operasinya.

“Permohonan PENN 2.0 kini dibuka di semua 124 pejabat cawangan AIM di seluruh negara dengan menawarkan skim pembiayaan mikro yang sangat mudah, tanpa penyata kewangan, penjamin mahupun sebarang cagaran.

“Malah peserta PENN akan diberi bimbingan dan pemantauan yang berterusan daripada pihak AIM,” katanya.