Remaja hilang ketika cari lembu ditemui selamat selepas 31 jam

MELAKA – Remaja lelaki berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang ketika mencari lembu petang di kawasan hutan Kampung Permatang Pasir, Alai di sini petang semalam ditemui selamat kira-kira pukul 1.57 pagi tadi, selepas 31 jam kehilangannya.

Pelajar sekolah itu ditemui penduduk kampung dan pasukan bomba selepas terdengar suara mangsa mengerang dalam keadaan terbaring di kawasan semak di belakang rumah penduduk.

Menerusi siaran langsung menunjukkan remaja itu yang berbaju hijau dan dalam keadaan lemah dipapah dua anggota bomba sambil penduduk kampung melaungkan azan.

Remaja berkenaan kemudian dibawa menuju ke rumah penduduk untuk berehat.

Bagaimanapun, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa, namun dijangka dikeluarkan pagi ini.

MalaysiaGazette semalam melaporkan remaja orang kurang upaya (OKU) lemah pembelajaran, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, dilaporkan sesat di dalam hutan ketika keluar mencari lembu yang hilang, sejak 6.30 petang Rabu.

Difahamkan, remaja terbabit keluar mencari haiwan ternakan di kawasan hutan berkenaan yang turut terdapat dua buah kolam terbiar berusia 80 tahun yang dikatakan ‘keras’ oleh penduduk kampung.

Menguatkan lagi dakwaan, apabila ada saksi kejadian mengatakan hanya menjumpai lembu betina yang hilang di kolam berkenaan selepas melaungkan azan kira-kira pukul 10 malam semalam walaupun sudah mencari di situ dua jam sebelum itu. – MalaysiaGazette