TMJ setuju tukar tanah RM20 billion di Singapura

JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan kerajaan Singapura setuju untuk melaksanakan pertukaran tanah milik baginda di Holland Road, Singapura.

Dalam kenyataan bersama, Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) memaklumkan, Tunku Mahkota Ismail akan memindahkan 13 hektar tanah milik baginda di kawasan berdekatan Tapak Warisan Dunia Unesco Taman Botani Singapura kepada kerajaan republik itu.

Difahamkan nilai anggaran hartanah berkenaan adalah RM15 bilion hingga RM20 billion.

“Sebagai pertukaran, kerajaan Singapura akan memindahkan 8.5 hektar tanah milik negara kepada Tunku Mahkota Ismail.

“Tanah yang akan ditukar ganti adalah bernilai setara,” menurut kenyataan itu.

Tunku Ismail kini memiliki 21.1 hektar tanah tanah di Holland Road yang berada di bawah pemilikan peribadi Keluarga Diraja Johor selama beberapa generasi.

SLA dan URA menyatakan Tunku Ismail merancang untuk membangunkan tanah milik baginda.

“Pemangku Sultan Johor boleh membangunkan tanah milik baginda selepas pertukaran itu, yang sesuai untuk pembangunan kediaman bertingkat rendah dan berkapasiti rendah,” jelas kenyataan itu.

SLA dan URA menambah, pelan pembangunan akan tertakluk kepada proses sewajarnya.

“URA dan agensi berkaitan akan menilai sebarang permohonan pembangunan dan memastikan pembangunan yang dicadangkan selaras dengan konteks persekitarannya,” ujar kenyataan itu.

Sebelum sebarang kerja dimulakan, kajian alam sekitar akan dijalankan bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Kerajaan Singapura akan mengekalkan tanah yang diterima daripada pertukaran itu tanpa pembangunan buat masa ini, namun terbuka kepada perancangan masa depan untuk kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette