MELAKA – Pelajar sekolah yang menjadi suspek utama pembunuhan ibu dan abangnya di rumah mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai di sini awal pagi semalam disifatkan sebagai seorang yang pendiam.
Ia diakui jiran keluarga suspek berusia 17 tahun itu, Yuliyani Md Tuin, 34, yang mendakwa, remaja berkenaan juga tidak pernah bersikap kasar dengan mereka sejak berjiran dengan ibu tunggal berusia 51 tahun itu tiga tahun lalu.
Menurutnya, sikap baik anak kedua daripada tiga beradik itu membuatkannya terkejut apabila mengetahui dia disyaki membunuh abangnya berusia 21 tahun dan ibunya yang juga merupakan guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina selain turut menikam adik lelakinya berusia 13 tahun.
“Sejak berjiran dengan keluarga ini, mereka tidak pernah memberikan masalah kepada saya walaupun memang kerap juga dengar empat beranak itu bergaduh sejak mangsa kematian suaminya Januari lalu.
“Sesekali bila terserempak dengan pelajar itu ketika hendak masuk rumah, dia sekadar melemparkan senyuman dan kami tidak pernah berbual kerana dia seorang yang pendiam,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya malam tadi.
Menurut pekerja swasta itu lagi, dia juga tidak pernah melihat suspek berada dalam keadaan marah atau bergaduh dengan ibu dan abangnya di luar rumah.
“Memang tak pernah lihat mereka bergaduh luar rumah dan kalau bergaduh pun cuma berlaku di dalam rumah terutamanya pada waktu malam.
“Sebab itu bila pagi tadi (semalam) bila saya lihat ambulans dan polis depan rumah, memang terkejutlah kerana tidak pernah mereka bergaduh seteruk ini,” katanya.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan kes pembunuhan yang menggemparkan negara apabila mangsa ditemukan berlumuran darah di ruang tamu rumah setingkat berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi.
Guru sekolah berkenaan dan anak sulungnya maut dengan beberapa kesan tikaman di badan dan leher manakala anak bongsunya turut cedera parah apabila ditikam suspek menggunakan pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar turut mengesahkan faktor tekanan dan dendam terpendam daripada ibu dan abang suspek yang sering memaksanya belajar dipercayai menjadi motif utama dua beranak itu dibunuh kejam.
Remaja 17 tahun itu ditahan di luar garaj rumah selepas berada keadaan bingung ketika polis tiba dan hasil pemeriksaan menjumpai pisau yang dipercayai digunakan di dalam beg sekolahnya. – MalaysiaGazette

