KOTA TINGGI: Sebanyak 380 pokok kelapa jenis Sungai Gulang-gulang (SGG) di Zon Pengeluaran Makanan (ZPM) Sedili Kechil di sini, musnah diserang gajah pada 16 Jun dan kelmarin.
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengerang, Mohamad Azhar Din, berkata dalam kejadian dua hari itu, sebanyak dua hektar tanah tanaman kelapa terjejas membabitkan kerugian RM90,000.
“Pokok ini ditanam akhir 2023 menggunakan peruntukan yang baharu kita terima ketika itu yang mana sepatutnya akan mengeluarkan hasil dalam masa tiga tahun, tetapi kini musnah diserang gajah.
“Kita percaya gajah ini bergerak dalam beberapa kumpulan kecil yang dianggarkan setiap kumpulan terdapat tiga hingga lima ekor yang mana mereka mula membuat serangan seawal jam 12 tengah malam hingga waktu Subuh.
“Sebelum ini, kawasan ini tiada rekod serangan gajah, sebab itu kita tanam kelapa,” katanya ketika ditemui di Pejabat PPK Pengerang, Bandar Penawar di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak Oktober tahun lalu, sebanyak 35 hektar kawasan tanaman kelapa menjadi serangan gajah milik lima usahawan dan tiga pertubuhan peladang membabitkan 13 lot tanaman.
“Sehingga kini sebanyak 6,171 pokok kelapa terjejas yang mana semuanya berusia antara setahun hingga sembilan tahun.
“Anggaran kerugian sehingga kini mencecah RM1.8 juta mencakupi kos pembangunan, infrastruktur dan kos pengurusan,” katanya.
Untuk rekod, seramai 32 usahawan mengusahakan pelbagai jenis tanaman di ZPM Sedili Kechil yang mana tanah kawasan itu milik enam pertubuhan peladang dengan PPK Pengerang selaku ejen pengurusan yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus hal ehwal pentadbiran tanah dan lain-lain pengurusan.
PPK Pengerang menguruskan 800 hektar kawasan dengan 154 hektar adalah bagi tanaman kelapa pelbagai varieti.
Bagaimanapun, Mohamad Azhar berkata, tanaman kelapa menjadi sasaran terkini kumpulan gajah kerana jenis tanaman berumbut sesuai dengan diet haiwan mamalia darat terbesar itu.

