China kecam serangan AS ke atas Iran

NEW YORK: Perwakilan Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong, mengecam sekeras-kerasnya serangan dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran dan kemudahan nuklear yang dipantau Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Fu Cong menegaskan serangan AS terhadap tiga kemudahan nuklear utama Iran di Fordo, Natanz dan Isfahan, telah melanggar prinsip asas Piagam PBB serta undang-undang antarabangsa.

Selain itu, katanya, serangan berkenaan juga mencerobohi kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah Iran, sekali gus menambah ketegangan di rantau Asia Barat serta memberi tempias teruk kepada sistem pengawalan nuklear antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB (UNSC), di sini, semalam.

Fu Cong berkata, China turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di Asia Barat.

“Pihak-pihak terbabit, terutama Israel, perlu menghentikan tindakan ketenteraan bagi mengelak situasi daripada menjadi lebih meruncing atau sehingga peperangan merebak ke luar rantau berkenaan,” katanya.

Fu Cong menegaskan saluran diplomatik bagi penyelesaian isu nuklear Iran, masih belum digunakan sepenuhnya, manakala penyelesaian secara damai pula masih ada kemungkinan.

Beliau menekankan, China bersedia untuk berusaha bersama masyarakat antarabangsa, bersinergi serta mengangkat keadilan demi pemulihan kedamaian dan kestabilan di Asia Barat.