SEPANG – Proses membawa pulang 17 rakyat Malaysia dari Iran baru-baru ini bukan satu misi yang mudah sebaliknya penuh dengan cabaran dan ketidakpastian.
Selain 17 rakyat Malaysia, enam warga Iran yang merupakan tanggungan kepada rakyat Malaysia, serta seorang warga Singapura juga selamat tiba dari lokasi konflik Israel-Iran itu.
Misi evakuasi dari Tehran ke Kuala Lumpur diketuai sendiri oleh Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar.
“Saya mengetuai rombongan yang berlepas dari Iran, kami telah melalui perjalanan darat lebih selamat namun sejauh lebih 1,000 kilometer dari Tehran ke sempadan Iran-Turkmenistan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.
Menurut beliau, perjalanan tersebut mengambil masa berjam-jam dan turut melibatkan beberapa proses dokumentasi serta pemeriksaan keselamatan.
“Kami terpaksa melalui balai polis untuk mendapatkan pengesahan dan keesokannya sekali lagi ke balai untuk proses lanjut.
“Banyak persoalan timbul mengenai laluan yang harus diambil kerana ada kawasan tertentu yang perlu dielakkan berikutan insiden keselamatan berlaku di sebelah timur Iran,” jelasnya.
Khairi berkata, pihak kedutaan bekerja rapat dengan kerajaan Iran dan negara-negara terbabit termasuk Turkmenistan dan Thailand bagi memastikan semua urusan imigresen serta lintas sempadan berjalan lancar.
“Proses di sempadan memerlukan kesabaran yang tinggi. Kami menunggu lama sebelum dibenarkan masuk ke Turkmenistan dan seterusnya ke Ashgabat. Dari sana, kami menaiki pesawat ke Bangkok dan transit sebelum menaiki penerbangan terakhir ke Malaysia,” tambah beliau.
Khairi turut berkongsi bahawa proses komunikasi sepanjang misi evakuasi itu tidak mudah.
“Di Iran, perkhidmatan internet dan telekomunikasi antarabangsa terganggu. Kami tidak boleh membuat panggilan keluar ke luar negara malah aplikasi seperti WhatsApp pun tidak dapat digunakan seperti biasa.
“Jadi, kami terpaksa kembali menggunakan kaedah lama ‘sms’ yang lebih perlahan,” katanya.
Masih ada rakyat Malaysia di Iran
Meskipun kumpulan pertama telah selamat tiba di tanah air, Khairi mengesahkan masih ada sekitar 12 rakyat Malaysia yang berada di Iran dan pemantauan rapi terus dilakukan.
“Ada antara mereka yang terdiri daripada pelajar dan juga tanggungan. Mereka tidak berada di satu lokasi, ada yang di Tehran, ada juga di Shiraz.
Oleh itu, kami perlu kenal pasti keadaan mereka dan lokasi sebenar bagi sebarang tindakan lanjut,” jelas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa keselamatan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan.
“Ketika serangan mula berlaku, ia tidak kelihatan begitu drastik. Namun selepas dua hari, kami mula mengenal pasti pola serangan berlaku pada waktu malam, manakala waktu siang lebih tenang.
“Serangan juga menyasarkan lokasi tertentu, jadi kami perlu berhati-hati agar rakyat kita tidak terperangkap di tempat dan masa yang salah,” dedahnya.
Dalam masa sama, beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan doa semua pihak yang memudahkan proses membawa pulang rakyat Malaysia dari kawasan berisiko tinggi itu.
“Kami bersyukur semuanya selamat. Misi ini bukan sahaja melibatkan logistik dan diplomasi, tetapi juga komitmen emosi yang besar bagi memastikan rakyat kita selamat kembali ke pangkuan keluarga,” ujarnya. –MalaysiaGazette

