AGC fail rayuan keputusan mahkamah Syed Saddiq hari ini

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menfailkan Notis Rayuan merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas meneliti dan mempertimbangkan keputusan Mahkamah Rayuan semalam.

AGC dalam satu kenyataan hari ini berkata, proses rayuan itu merupakan sebahagian daripada sistem kehakiman yang membenarkan semakan terhadap keputusan mahkamah yang lebih rendah.

Menurutnya, ia adalah amalan biasa dalam proses perundangan negara dan tidak mencerminkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.

“Pemfailan rayuan ini bertujuan memastikan isu-isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan, selaras dengan prinsip keadilan dan tadbir urus undang-undang yang telus,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini mensabitkan Syed Saddiq atas empat pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda berjumlah RM10 juta.

Semalam, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq yang juga bekas Presiden Parti MUDA atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara memutuskan bekas Bekas Menteri Belia dan Sukan itu tidak bersalah, sekali gus menerima rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.

Turut bersidang Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Noorin ketika membacakan alasan penghakiman lebih satu jam berkata, pertuduhan dihadapi Syed Saddiq tidak berasas dan pendakwaan gagal membuktikan kesalahan bersubahat walaupun pada peringkat kes prima facie.

Sebelum ini, Syed Saddiq memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada. – MalaysiaGazette