BUTTERWORTH – Lelaki yang menjadi sasaran dalam insiden tembakan berhampiran sebuah sekolah di Jalan Sungai Nyior di sini, semalam dikatakan mempunyai empat rekod jenayah lampau.
Difahamkan, mangsa yang merupakan ahli perniagaan itu turut didakwa pernah terlibat dalam kegiatan geng kongsi gelap.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, hasil siasatan mendapati dua lelaki menunggang sebuah motosikal sebelum melepaskan lima das tembakan ke arah mangsa yang sedang menunggu anaknya di hadapan sekolah berkenaan.
“Kita terima panggilan daripada pusat kawalan daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara berhubung kejadian jam 5.40 petang.
“Siasatan mendapati suspek melepaskan lima das tembakan ke arah kenderaan mangsa sebelum melarikan diri.
“Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan terselamat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, polis kini giat mengesan dua suspek terlibat selain menyiasat motif kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Mohd Alwi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut yang boleh menjejaskan siasatan dan menggugat ketenteraman awam.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Shuheri Abd Rani di talian 04 576 2222 sambungan 2275 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.
MalaysiaGazette semalam melaporkan, seorang lelaki tempatan berdepan detik cemas apabila pacuan empat roda yang dipandunya ditembak dari jarak dekat berhampiran sebuah sekolah rendah di Sungai Nyior di sini, petang tadi.
Mangsa berusia lingkungan 40-an itu dikatakan dalam perjalanan untuk mengambil anaknya pulang dari sekolah. – MalaysiaGazette

