Trump dakwa Israel setuju dengan syarat gencatan senjata Gaza 60 hari

WASHINGTON – Israel telah bersetuju dengan “syarat-syarat yang perlu” bagi memuktamadkan gencatan senjata selama 60 hari di Gaza, kata Presiden Donald Trump.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump berkata, sepanjang tempoh gencatan senjata yang dicadangkan itu, Amerika Syarikat (AS) akan “bekerjasama dengan semua pihak untuk menamatkan perang”.

Namun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai pelaksanaan gencatan senjata tersebut.

“Pihak Qatar dan Mesir, yang telah berusaha keras untuk membawa keamanan, akan menyampaikan cadangan terakhir ini. Saya harap… Hamas menerima perjanjian ini, kerana ia tidak akan jadi lebih baik — IA HANYA AKAN MENJADI LEBIH BURUK,” tulis Trump.

Israel belum mengesahkan sama ada ia bersetuju dengan syarat-syarat perjanjian itu.

Seorang pegawai Hamas memberitahu BBC bahawa kumpulan itu “bersedia dan serius” untuk mencapai persetujuan sekiranya ia membawa kepada penamatan perang.

Hamas “bersedia menerima sebarang cadangan sekiranya syarat untuk menamatkan perang dipenuhi dengan jelas atau membawa kepada pengakhirannya secara menyeluruh,” kata jurucakap Hamas, Taher al-Nunu.

Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar, dalam satu hantaran di X berkata, terdapat sokongan majoriti dalam kerajaan untuk “kerangka bagi pembebasan tebusan”, dan peluang ini “tidak boleh dilepaskan”.

Bagi Israel, elemen utama dalam mana-mana perjanjian adalah pembebasan sebahagian besar, jika tidak semua tebusan yang masih ditahan di Gaza.

Daripada sekitar 50 tebusan yang masih berada dalam tahanan, lebih 20 dipercayai masih hidup dan nasib mereka menjadi tumpuan demonstrasi berterusan di Israel yang mendesak penamatan perang.

Satu tinjauan akhbar Israel baru-baru ini menunjukkan majoriti rakyat Israel mahu perang ditamatkan namun satu kajian pada hari Rabu oleh Institut Demokrasi Israel menunjukkan majoriti masih tidak mempercayai Perdana Menteri Benjamin Netanyahu atau niatnya.

Netanyahu selama berbulan-bulan menegaskan Israel mesti mencapai “kemenangan sepenuhnya” ke atas Hamas sebelum menamatkan perang.

Tidak jelas sama ada pendiriannya akan berubah di bawah tekanan baharu dari Washington dan jawapan kepada soalan itu boleh menjadi kunci kepada kejayaan rundingan.

Pengumuman Trump dibuat menjelang pertemuan dengan Netanyahu yang dijadualkan minggu hadapan, dan Presiden AS it berkata beliau akan “bersikap sangat tegas”.

Beliau sebelum ini percaya Netanyahu mahu menamatkan pertempuran di Gaza.

“Dia mahu. Saya boleh katakan dia memang mahu. Saya rasa kita akan capai perjanjian minggu hadapan,” kata Trump.

Hamas sebelum ini telah menyatakan kesediaan untuk bersetuju dengan gencatan senjata jika ia membawa kepada pengakhiran perang.

Tetapi tanpa jaminan itu, para perunding Hamas mungkin akan mempertikaikan nilai melepaskan semua tebusan jika tentera Israel berkemungkinan menyambung serangan ke atas Gaza.

Satu lagi pertimbangan sebelum perjanjian dapat dimuktamadkan – mungkin semasa lawatan Netanyahu ke Washington minggu hadapan ialah tuntutan Hamas agar sebahagian tentera Israel berundur dari Gaza sekurang-kurangnya sepanjang tempoh gencatan senjata.

Masyarakat antarabangsa juga dijangka mendesak agar penghantaran bantuan berskala penuh yang disokong PBB ke Gaza disambung semula.

Sebelum pengumuman Trump, Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Danny Danon berkata, Israel “pasti” bersedia untuk gencatan senjata.

Namun Danon berkata, Hamas sedang “bermain tarik tali”.

“Kami memberi tekanan kepada Hamas, dan jika mereka tidak datang ke meja rundingan, satu-satunya pilihan untuk membawa pulang tebusan adalah dengan meningkatkan tekanan ketenteraan,” katanya.

“Perang hanya akan tamat apabila tebusan pulang ke rumah,” tambahnya.

Kementerian Kesihatan Hamas di Gaza berkata, setakat 28 Jun, seramai 408 orang terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan di lokasi GHF.

Lebih 170 badan amal dan NGO telah menggesa supaya kumpulan kontroversi itu ditutup. Organisasi seperti Oxfam dan Save the Children mendakwa tentera Israel “sering” melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang sedang mendapatkan bantuan.

Israel menafikan dakwaan itu dan berkata organisasi tersebut diperlukan untuk mengelak campur tangan Hamas dalam pengagihan bantuan.

Pada bulan Mac, satu perjanjian gencatan senjata sebelum ini gagal apabila Israel melancarkan serangan baru ke atas Gaza. Tentera Israel menyifatkan tindakan itu sebagai “serangan awal… berdasarkan kesediaan Hamas untuk melancarkan serangan, memperkukuh kekuatan dan mempersenjatai semula”.

Perjanjian gencatan senjata sebelum ini — yang bermula pada 19 Januari — dirancang dalam tiga fasa, tetapi tidak melepasi fasa pertama.

Fasa kedua termasuk penubuhan gencatan senjata kekal, pemulangan baki tebusan yang masih hidup di Gaza sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin di Israel, dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza. – MalaysiaGazette