LIVERPOOL: Bintang Liverpool, Mohamed Salah, memendekkan percutiannya dan dijadual pulang ke England hari ini bagi memberi penghormatan kepada rakan sepasukannya, Diogo Jota, yang maut dalam kemalangan jalan raya bersama adiknya, Andre Silva.
Menurut laporan portal sukan Mesir, Yallakora, Salah akan kembali ke Liverpool lebih awal daripada jadual asal, iaitu sebelum latihan pra-musim bermula 8 Julai.
Beberapa pemain The Reds turut dijangka tiba hujung minggu ini bagi menyertai tempoh berkabung pasca insiden tragis itu.
Jota, 28, dan Andre, 25, terbunuh dalam kemalangan di Zamora, Sepanyol.
Difahamkan, Jota sedang menuju ke Santander untuk menaiki feri pulang ke England selepas dinasihatkan agar tidak menaiki kapal terbang susulan pembedahan paru-paru baru-baru ini.
Salah, yang sebelum ini berkongsi gambar-gambar percutian di Bodrum, Turki dan destinasi lain seperti Mombasa (Kenya) dan Mykonos (Greece), kini menghentikan rehatnya demi menghormati sahabat yang telah pergi.
Tragedi berlaku tidak lama selepas Liverpool meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) , gelaran pertama buat Jota sejak menyertai kelab itu pada September 2020 dalam perpindahan bernilai AS$56 juta (RM263 juta).
Sepanjang tempoh di Anfield, Jota berkongsi padang sebanyak 150 kali bersama Salah dan mereka bergandingan menghasilkan 19 gol.
Hubungan akrab mereka di dalam dan luar padang menjadikan kehilangan ini lebih perit buat penyerang Mesir itu.
Setakat ini, Salah masih belum mengeluarkan kenyataan terbuka, namun beberapa rakan sepasukan termasuk Darwin Nunez, Alexis Mac Allister dan Harvey Elliott telah berkongsi penghormatan masing-masing.
Bekas rakan sepasukan Jota di Wolves dan skuad kebangsaan Portugal, Ruben Neves, menulis di Instagram: “Mereka kata seseorang hanya hilang apabila kita melupakannya. Aku takkan pernah lupakan kau.”
Nunez pula menambah: “Tiada kata-kata yang mampu menenangkan kesedihan ini. Aku akan sentiasa ingat senyumanmu — seorang sahabat sejati di dalam dan luar padang. Dari mana pun kau berada, aku tahu kau akan terus bersama keluarga kau, terutama isteri dan tiga anakmu. Semoga Diogo dan Andre tenang di sana.” – AGENSI

