PGA rampas 38 tan tanah merah bernilai RM250,000 dibawa tanpa kelulusan

SUNGAI PETANI: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 38 tan tanah merah yang dibawa tanpa kelulusan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah melalui satu operasi semalam.

Dalam operasi dijalankan Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA itu, dua lelaki disyaki terbabit aktiviti itu ditahan.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta di Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata pemeriksaan mendapati tanah merah terbabit dibawa menggunakan lori tanpa kelulusan pihak berkuasa.

“Nilai keseluruhan rampasan adalah RM250,000 dan kes disiasat mengikut Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah Bilangan 1/2023.

“Dua lelaki berusia 43 dan 54 tahun terbabit ditahan untuk membantu siasatan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Jika sabit kesalahan keseluruhan deposit diletakkan pengusaha kuari akan dirampas dan diserahkan kepada kerajaan negeri sebagai hasil negeri.