Pemain Nigeria perkuat RESC hadapi Liga Wanita Nasional

ALOR SETAR: Satu-satunya wakil pasukan dari zon utara tanah air Red Eagles SC (RESC) yang berpangkalan di Kedah bakal tampil dengan kelainan apabila menyenaraikan seorang pemain import dari Nigeria pada saingan Liga Wanita Nasional (LWN) musim 2025 ini yang bermula dari 12 Julai hingga 27 Disember 2025.

Menurut Ketua Jurulatih RESC, Mohd Firdaus Azid, selain menampilkan 50 peratus muka baharu yang bergandingan dengan pemain senior skuad berkenaan, RESC yang terdiri daripada 23 pemain ini juga menyuntik kekuatan tambahan dengan menyenaraikan seorang penyerang import iaitu Alli Barakat Bukola berusia 20 tahun.

Pemain yang mesra dengan panggilan ‘Bint’ dari bandar Lagos ini adalah seorang pelajar Al-Bukhari International University (AIU) di sini dan beliau muncul pemain import pertama yang bersama RESC sejak pasukan itu ditubuhkan.

“Penampilan seorang pemain import dari Nigeria pada tahun ini dianggap sesuatu yang menarik untuk kami buktikan di atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang membenarkan setiap pasukan mendaftar maksimum dua pemain import untuk saingan pada musim ini.

“Selepas kami mengadakan rundingan, kami bersyukur kerana penyerang bertubuh besar, tinggi serta lincah di posisi serangan dan mesra dengan panggilan ‘Bint’ ini bersetuju untuk memperkuat pasukan kami.

“Banyak gerakannya diyakini dapat menambah ketajaman yang pasukan perlukan dan saya harap beliau dapat membantu menajamkan lagi jentera serangan pasukan,” katanya pada sesi memperkenalkan barisan pemain RESC di Darulaman Golf & Country Club semalam.

Firdaus yang turut dibantu oleh Penolong Jurulatih, Mohd Irwan Rashidi juga yakin persiapan RESC kini menghampiri tahap sepenuhnya menjelang aksi pertama mereka menentang penyandang juara liga musim lalu iaitu Kelana United FC pada 12 Julai ini.

“Untuk persiapan pula kami sudah melepasi 80 peratus dan akan ada dua ke tiga lagi pemain yang baru sahaja bersama pasikan dan saya jangkakan kami akan melengkapkan peratusan persediaan sebelum aksi pertama kami nanti.

“50 peratus pemain adalah muka baharu antaranya pemain dari Sabah dan Terengganu untuk menambah kekuatan manakala untuk pemain ysng sudah memilki pemgalaman pada tahun sebelum ini akan menjadi tulang belakang untuk pasukan.

“Bagi pemain paling muda kami berusia 15 tahun. Walaupun baru tahun pertama menyertai pasukan namun saya yakin mereka juga mampu berada dalam kesebelasan utama kami dan mereka boleh memberi saingan kepada pemain senior,” katanya.

Lapan pasukan yang akan bersaing musim ini ialah Kelana United FC, Sabah FA, Selangor FC, Kuala Lumpur FA, KL Rangers FC, Young Tigress, Red Eagle Soccer Club dan MBSJ FC.

Untuk rekod, kecemerlangan pasukan bola sepak wanita RESC terserlah selepas menjuarai kejohanan Liga Bolasepak Rakyat (LBR) Wanita dan meraih gelaran Naib Juara Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) musim 2017. RESC juga telah menjuarai kejohanan PTSR untuk musim 2018 dan bergelar naib juara PTSR pada musim 2019.