KUALA LUMPUR: Hari kedua Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s 2025 menyaksikan persaingan semakin sengit dengan beberapa pasukan menunjukkan dominasi jelas termasuk Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan tuan rumah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
Dalam Kumpulan A, SSTMI membuktikan status mereka sebagai juara bertahan apabila menamatkan peringkat kumpulan menerusi tiga kemenangan sempurna dan jelas bersedia untuk mempertahankan mahkota kejuaraan.
Mereka menewaskan SMK Belara 19-12 sebelum membenam MRSM Balik Pulau 36-7 dan menutup kempen kumpulan dengan kemenangan bergaya 31-0 ke atas SMK Hosba.
Kumpulan B pula menjadi pentas dominasi penuh SSMP yang menutup saingan kumpulan tanpa bolos sekali gus melakar satu pencapaian luar biasa dan meletakkan mereka sebagai ancaman utama kepada pasukan lain dalam perebutan Piala NJ Ryan.
Mereka memulakan langkah dengan kemenangan 19-0 ke atas Kolej Vokasional Arau, diikuti kemenangan besar 48-0 ke atas STAR Ipoh sebelum menewaskan EC 34-0.PlayNextMute
Sementara itu, MCKK nyata tidak mahu malu di laman sendiri apabila tampil garang dalam Kumpulan C yang menyaksikan mereka membuka kempen dengan kemenangan 31-0 ke atas INTEK.
Mereka kemudiannya membelasah SMAD 69-0 sebelum menewaskan SMS Faris Petra 39-5 dan dengan kutipan 139 mata dan hanya 5 dibolosi, skuad ‘The Malay College’ muncul antara pasukan paling menyerlah setakat ini.
Dalam Kumpulan D, Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga (ARAS) membuktikan keupayaan sebagai ‘dark horse’ apabila meraih tiga kemenangan termasuk menumpaskan RMC 26-0 dan SEMSIRA 45-5.
Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KE VII) turut menunjukkan taring dengan dua kemenangan, namun kekalahan kepada ARAS meletakkan mereka di tempat kedua kumpulan.
Persaingan dalam Kumpulan E tidak kurang menariknya apabila SMK Tun Hussein Onn (THOR) menampilkan aksi luar biasa.
Mereka menewaskan Vajiravudh College (VC) dari Thailand 27-0 dan menjaringkan keseluruhan 132 mata dalam tiga perlawanan – antara tertinggi dalam kejohanan. Wakil Thailand, VC pula sekadar meraih tempat kedua selepas tewas kepada THOR.
Satu lagi wakil antarabangsa, Shizuoka Seiko Academy (SSA) dari Jepun, menepati ramalan apabila mengungguli Kumpulan F dengan tiga kemenangan, termasuk menewaskan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) dan SMK Telok Mas (AKRAM).

