KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap pasangan didakwa terbabit program motivasi rumah tangga (eHATI) yang dikaitkan dengan perbuatan mencolok mata dan syirik, sudah dimulakan dengan kedua-dua mereka akan dipanggil memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata ini susulan laporan rasmi berhubung penganjuran program terbabit yang diterima pihak JAIS, baru-baru ini.
Selain itu, katanya, tindakan lanjut berhubung program terbabit akan dimuktamadkan selepas siasatan diselesaikan JAIS.
“Saya maklum mengenai kebimbangan masyarakat berhubung pendekatan digunakan (eHATI) yang menggusarkan.
“Justeru, saya minta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee mengeluarkan kenyataan memulakan kerjasama dengan JAIS (bagi menangani isu terbabit).PlayNextMute
“Saya juga dimaklumkan JAIS sudah menerima aduan rasmi dan siasatan sudah dimulakan, selain pasangan terbabit akan dipanggil memberi keterangan kepada Bahagian Penguatkuasaan JAIS,” katanya kepada BH.
Kelmarin, media melaporkan program motivasi dan bimbingan, dikatakan dikendalikan pasangan suami isteri, didakwa menyebarkan ajaran sesat dan menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga.
Bekas ahli program itu menerusi Facebook mendedahkan ajaran terbabit dikatakan berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi kepada wanita.
Dia mendakwa, pasangan terbabit mengamalkan ajaran batin yang menyesatkan dan turut menjadikan buku hindu sebagai rujukan kepada peserta program menerusi platform Telegram.
Mengenai dakwaan laporan berhubung penganjuran program itu sudah dikemukakan sejak tahun lalu, Mohd Na’im bagaimanapun mengakui perkara itu belum boleh disahkan ketika ini.
“Saya dimaklumkan ada aduan diterima sejak tahun lalu, tetapi perkara itu saya tak boleh ‘verify’ (sahkan) dan akan tunggu Sirajuddin (memberikan pengesahan mengenainya).
“Saya secara peribadi ada terima laporan mengenai kumpulan eHATI kelmarin, dan tidak tahu mengenai kewujudan mereka sebelum ini.
“Justeru, orang ramai diminta memberi kerjasama untuk segera melaporkan penganjuran apa-apa aktiviti yang mengandungi unsur menyeleweng dan meragukan kepada pihak berkuasa agama negeri supaya tindakan dapat diambil,” katanya.
Mohd Na’im juga menasihati orang ramai, terutama pasangan berdepan masalah rumah tangga untuk merujuk pihak berautoriti, sebelum menyertai sebarang program sebagai usaha menyelesaikan isu terbabit.
Beliau meminta peserta mana-mana program mengemukakan aduan rasmi, sekiranya pendekatan atau modul digunakan penganjur disyaki mengandungi unsur meragukan atau menyeleweng.
“Saya faham (pasangan) mahu mencari pakar motivasi (berkaitan rumah tangga). Kadang-kadang isteri ada masalah dengan suami dan sebaliknya. Mereka mahu cari jalan ketenangan.
“Namun dalam proses mencari itu, (mungkin) bertemu kumpulan, seolah-olah meletakkan harapan untuk menyelesaikan masalah dihadapi mereka.
“Tiada masalah untuk mana-mana pasangan membuat pencarian (kaedah menyelesaikan isu rumah tangga) cuma saya nasihatkan, pastikan kumpulan ini melalui pihak berautoriti.
“Insya-Allah bila aduan dibuat, saya beri komitmen untuk memastikan JAKIM bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri untuk ambil tindakan supaya elemen penyelewengan tak berterusan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

