Perkahwinan jarak usia sangat jauh wanita tempatan, warga asing dalam radar Imigresen

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen (Imigresen) akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkahwinan antara wanita tempatan dengan warga asing yang mempunyai jarak usia sangat jauh.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata kemungkinan perkahwinan itu ada tujuan tertentu atau berorientasikan ‘marriage for convenience’.

Beliau berkata ada perkahwinan yang berlangsung antara wanita tempatan yang berusia 65 tahun bersama pasangannya yang juga warga asing berusia 20-an, sekali gus menimbulkan keraguan kemungkinan ada tujuan lain.

“Kalau mereka berkahwin secara sah, ikut peraturan dan perundangan yang betul, tak jadi kesalahan tapi apa yang risaukan jika guna kemudahan perkahwinan untuk tujuan tertentu, iaitu ‘marriage for convenience’.

“Pemuda warga asing berusia 25 tahun berkahwin dengan orang tua dah umur 60 atau 70 tahun, ada jarak usia yang ketara.

“Di pihak Imigresen, kita akan buat siasatan terperinci untuk mengesahkan perkahwinan mereka ini, adakah betul untuk tujuan perkahwinan atau hanya bersifat ‘marriage for convenience’,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Zakaria berkata, jika hasil siasatan menunjukkan perkahwinan itu ada tujuan tertentu, pihaknya tidak akan meluluskan kemudahan Imigresen seperti pas lawatan sosial jangka panjang yang ditawarkan.

Katanya, isu perkahwinan sebegitu bukan baharu sebaliknya sudah lama berlaku dan ia bukan satu kesalahan selagi mengikut peraturan yang betul cuma ia lebih kepada masalah sosial.

“Kita perlu beri kesedaran kepada masyarakat jika ada ahli keluarga mereka sama ada ibu atau kakak yang berumur, tiada orang jaga, beri perhatian supaya mereka tidak terjerat dengan sindiket yang terbabit.

“Kalau kata (usia) hampir sebaya, jaraknya tak jauh, ‘OK’ lah tapi kita tetap juga buat naziran untuk sahkan tujuan perkahwinan sebenar,” katanya.

Imigresen baru-baru ini menumpaskan satu sindiket yang dipercayai menawarkan perkhidmatan berkaitan imigresen, termasuk permohonan di bawah kategori ‘pasangan warga asing kepada warganegara Malaysia’ dan perkhidmatan pendaftaran perkahwinan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk perkahwinan antara warganegara dan warga asing.

Zakaria berkata, sindiket itu menyasarkan warga emas yang sering terabai atau tidak mendapat sokongan kewangan daripada ahli keluarga sendiri dan kebanyakan kes, warga emas terbabit tidak perlu melakukan apa-apa selain bersetuju untuk berkahwin.

“Sebagai balasan, mereka menerima elaun bulanan yang mencecah ribuan ringgit kerana warga asing ini hanya mahu berkahwin untuk mendapatkan status sah sahaja,” katanya.