KUALA LUMPUR – Polis mengklasifikasikan penemuan mayat seorang lelaki dalam gaung di Kampung Batu 23, Jalan Pahang di Tapah, Perak kelmarin sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Johari Yahya berkata, klasifikasi itu dibuat berdasarkan hasil bedah siasat Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh yang mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat dipukul dengan objek tumpul.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat multiple blunt trauma yang berpunca daripada dipukul menggunakan senjata tumpul.
“Terdapat kesan lebam dan luka lecet pada kepala, muka, dada, belakang badan serta kedua-dua tangan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Johari, mayat lelaki itu ditemukan dalam keadaan terbaring di bawah tebing setinggi 15 meter lengkap berpakaian kemeja-T dan berseluar pendek hitam.
Polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Tambah Johari, cap jari mangsa turut diambil bagi membantu proses pengecaman dan siasatan identiti mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di talian 05-4011222 atau tampil di mana-mana balai polis berdekatan.-MalaysiaGazette

