Majlis Raja-Raja dijangka umum pelantikan Ketua Hakim Negara hari ini

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Majlis Raja-Raja dijangka membuat keputusan dan mengumumkan pelantikan Ketua Hakim Negara hari ini.

Perdana Menteri turut mengesahkan telah mengadakan pertemuan dengan Majlis Raja-Raja pagi semalam.

“Pagi tadi (semalam) saya telah mengadakan perbincangan panjang bersama Majlis Raja-Raja, dan saya fikir biarlah mereka yang memutuskan, dan insya-Allah esok (hari ini) akan ada pengumuman yang jelas akan menolak segala persepsi negatif tersebut,” katanya menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti di Putrajaya, semalam.

Perdana Menteri turut mengambil maklum kebimbangan berhubung isu kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara serta persepsi negatif berhubung isu berkenaan.

Kenderaan yang membawa Sultan Kedah, Sultan Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika masuk di pintu utama Istana Negara pada pra-mesyuarat majlis raja-raja semalam. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Kenderaan yang membawa Sultan Kedah, Sultan Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika masuk di pintu utama Istana Negara pada pra-mesyuarat majlis raja-raja semalam. – Foto NSTP/Aswadi Alias

“Tanggapan bahawa beberapa pelantikan bagi jawatan penting dalam badan kehakiman mungkin seolah-olah terjejas atau dicemari.

“Ada calon-calon yang dikatakan dipersoalkan atau diragui oleh sesetengah pihak tetapi saya memberi jaminan bahawa perkara ini tidak berlaku.

“Dan nama-nama yang dipersoalkan, atau kelihatan mencurigakan, tidak pernah pun dibawa untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja.

“Jadi saya tutup perkara ini, dan saya harap, insya-Allah, apabila pengumuman dibuat nanti, ia akan membuktikan bahawa Kerajaan Madani komited kepada reformasi termasuk prinsip kebebasan kehakiman,” katanya.

MRR ke-269 dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj. - FB Sultan Ibrahim
MRR ke-269 dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj. – FB Sultan Ibrahim

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan tidak pernah berbincang mengenai sebarang kes dengan mana-mana hakim demi memastikan prinsip kebebasan kehakiman kekal dipertahankan.

“Saya tidak pernah berbincang dengan mana-mana hakim mengenai sebarang kes, sama ada dengan Ketua Hakim Negara mahupun hakim-hakim lain, saya kekal memegang prinsip kebebasan kehakiman,” katanya.