Polis tahan lelaki mengamuk pegang parang di Desa Pandan

KUALA LUMPUR  – Seorang lelaki yang mengamuk sambil memegang parang panjang ditahan polis dalam Op Roboh oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Desa Pandan, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 43 tahun itu dilakukan sejurus kejadian.

“Sekitar jam 10 pagi sepasukan polis bersama agensi penguatkuasa dari DBKL, Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Bekalan Air Selangor, sedang membuat kawalan keselamatan tindakan bersepadu meroboh struktur haram di atas siar kaki di Desa Pandan.

“Kemudian jam lebih kurang 11.17 pagi, suspek telah datang dan membuat provokasi.

“Suspek datang dengan memegang sebilah parang panjang ditangan kanan serta melibas sambil memaki hamun ke arah penguatkuasa DBKL, kemudian beberapa orang awam yang berada di kawasan itu cuba menenangkan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, polis turut merampas sebilah parang milik suspek di tempat kejadian dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Mohamad Lazim juga menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran orang awam dan menghentikan penularan kejadian ini di media sosial.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Polis Kuala Lumpur di talian 03- 2115 9999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9281 0715 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Hari ini, tular beberapa rakaman video di media sosial memaparkan seorang lelaki mengamuk sambil memegang parang panjang di depan orang awam. – MalaysiaGazette