TASEK GELUGOR – Seorang lelaki ditemukan tidak bernyawa di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang enjinnya masih hidup di belakang deretan premis perniagaan di Taman Ara Mutiara di sini semalam.
Mangsa berusia 34 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu SUV jenis Mazda CX-5 yang berkunci.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira 8.50 malam.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor segera dikerahkan ke lokasi dan tiba sekitar 9.03 malam. Sebaik tiba, anggota mendapati pintu kenderaan berkunci rapat manakala mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
“Anggota bomba kemudian bertindak membuka pintu menggunakan peralatan khas dengan bantuan pihak polis.
“Susulan itu, pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah John Sagun, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 9.35 malam dan kes kini diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

