Tiga maut, beribu penduduk dipindahkan akibat banjir di Korea Selatan

BANDAR SEOSAN: Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan lebih 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan selepas banjir akibat hujan lebat melanda Korea Selatan, hari ini.

Korea Selatan lazimnya mengalami musim hujan monsun pada bulan Julai, namun minggu ini, tiga kawasan di wilayah South Chungcheong mencatatkan kadar taburan hujan per jam antara yang tertinggi pernah direkodkan, menurut data rasmi kaji cuaca negara itu.

Menurut Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan, ketiga-tiga kematian yang direkodkan berlaku di wilayah South Chungcheong.

“Sekurang-kurangnya tiga individu disahkan maut akibat hujan lebat setakat jam 4 petang waktu tempatan, manakala lebih 1,000 penduduk sudah dipindahkan ke pusat perlindungan,” katanya.

Menurut polis, seorang mangsa ditemui dalam kenderaan yang tenggelam, seorang lelaki warga emas dihanyutkan arus berhampiran sungai, manakala seorang lagi lelaki warga emas ditemui mati dalam sebuah apartmen bawah tanah yang dinaiki air selepas dilaporkan hilang oleh anaknya.

Pegawai agensi kaji cuaca negara itu mendakwa, kawasan barat Seosan mencatatkan jumlah hujan mencecah 114.9 milimeter per jam (mm/j) iaitu satu paras yang biasanya hanya berlaku sekali dalam 100 tahun dan kali terakhir direkodkan adalah pada 1904.

Katanya, hujan luar biasa itu berlaku akibat aliran udara panas dan lembap dari pinggir Sistem Tekanan Tinggi Lautan Pasifik Utara yang mencetuskan ketidakstabilan atmosfera yang kuat.

Saluran televisyen tempatan menyiarkan rakaman banjir teruk di Seosan, dengan air membanjiri pasar, kompleks perumahan dan menenggelamkan kereta yang diparkir.

Wartawan AFP yang berada di Seosan melaporkan penduduk dilihat bergelut membersihkan kesan selepas banjir, dengan tempat letak kereta dan kedai-kedai masih dipenuhi air berlumpur.