16 jam bertarung nyawa, kanak-kanak lemas dalam kolam renang meninggal dunia

MELAKA – Selepas hampir 16 jam bertarung nyawa, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan lemas di kolam renang rumah inap sebuah kondominium di Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana, di sini pagi semalam disahkan meninggal dunia awal pagi tadi.

Perkara itu dikongsikan bapa kanak-kanak itu menerusi video yang dimuat naik menerusi akaun TikToknya kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

“Doakan cahaya mata kami ditempatkan bersama-sama orang-orang beriman. Allah lebih sayangkannya, mohon doa semua sahabat permudahkan urusan kami.

“Jika tiada halangan jenazah akan dibawa pulang ke Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor untuk dikebumikan di sana,” tulisnya menerusi akaun media sosial TikTok.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Zahery Mohd Zailani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.45 pagi sebelum tiga jentera termasuk van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati seorang kanak-kanak lelaki Melayu berumur 7 tahun telah lemas dan dikeluarkan dari kolam renang oleh orang awam sebelum pasukan bomba sampai.

“Pasukan bomba cuba memberikan bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa yang tidak sedarkan diri namun dikatakan gagal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mangsa kemudian di bawa ke Hospital Melaka oleh ambulans dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka kerana berada dalam keadaan kritikal. – MalaysiaGazette