KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan polis dan Majlis Aids Malaysia (MAC) bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perjumpaan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)
LGBT di Kemumin, bulan lalu.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata pertemuan itu bagi mendapatkan maklumat terperinci dan jelas supaya dapat diselesaikan secara berhemah serta tidak timbul salah faham.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini sebarang pertemuan belum dirancang.
“Jika ada permintaan yang mahukan kita mengadakan perjumpaan untuk mendapatkan jalan cerita yang sebenar, kita di pihak kerajaan negeri bersedia.
“Apa sahaja program yang nak dibuat kalau ia bertentangan dengan dasar kerajaan negeri dan adab orang Kelantan kita memang tidak boleh terima.
“Kalau ada program yang menyentuh sensitiviti ditambah pula dianjurkan di kawasan penempatan penduduk kampung, minta dulu kebenaran daripada pihak berkaitan seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK), polis dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, pihaknya juga boleh mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat mana-mana penganjuran yang menyalahi atau melanggar peraturan.
“Berkaitan yang didakwa semalam dan mengaku salah, mungkin kesalahan itu bukan dari pihak penganjur sebaliknya individu itu sendiri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, perjumpaan makan-makan kumpulan LGBT di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin, di sini, yang dipercayai disertai hampir 100 lelaki diserbu polis.
Serbuan yang dilakukan hasil risikan dan maklumat awam jam 1 pagi pada pertengahan bulan lalu itu menahan 20 lelaki selain merampas ratusan kondom dan ubat HIV.

