KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 24 Ogos depan untuk tarikh sebutan semula kes terhadap seorang pempengaruh dan peniaga kosmetik yang berdepan pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 1.015 kilogram (kg).
Keputusan itu dibuat Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas pihak pendakwaan memohon satu tarikh baharu bagi serahan laporan kimia.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ely Nazihah Ahmad Yunus, manakala tertuduh, Abdul Rahman Mohamad Hussain, 36, diwakili peguam Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique.
Mengikut pertuduhan sebelum ini, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine yang dianggarkan seberat 1.015 kg.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai di tingkat niaga Paya Keladi di sini, jam 8.40 malam pada 28 April lalu.
Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah disebat tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.
Media sebelum ini melaporkan peniaga kosmetik ditahan bersama dadah yang dianggarkan seberat 1.02 kg membabitkan rampasan keseluruhan termasuk aset bernilai lebih RM1 juta.

