KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara ‘balik awal’ daripada Piala ASEAN B-23 apabila terikat tanpa jaringan dengan Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, sebentar tadi.
Skuad bimbingan Nafuzi Zain memerlukan kemenangan 3-0 untuk mara ke separuh akhir namun keputusan itu membolehkan skuad Garuda Muda mengesahkan slot selaku juara Kumpulan A dengan tujuh mata.
Pada aksi terbabit, Malaysia mendapat kad kuning seawal minit keenam susulan kekasaran Ziad El Basheer sebelum tuan rumah menghasilkan percubaan pertama pada minit ke-10 menerusi tandukan Kadek Arel yang diselamatkan Zulhilmi Sharani.
Indonesia terus mengasak dan mendapat percubaan kedua pada minit ke-16 menerusi Rayhan Hannan tetapi tidak cukup untuk mengugat gawang kawalan Zulhilmi.
Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-34 menerusi Haqimi Azim Rosli namun pergerakannya dihalang pertahanan Indonesia yang cuba mengekangnya sebelum berjaya mengawal situasi cemas terbabit dengan baik.
Keputusan 0-0 kekal hingga tamat babak pertama sekali gus meninggalkan anak buah Nafuzi dengan tugas yang berat bagi mengharungi baki 45 minit separuh masa kedua.
Bersambung selepas rehat, Cahya Supriadi menafikan peluang Malaysia mendapat gol pembukaan selepas menafikan sepakan percuma Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-53.
Indonesia terlepas peluang menghasilkan gol pembukaan apabila Zulhilmi menyelamatkan percubaan Jens Raven menggunakan kakinya pada minit ke-58.
Tiada jaringan dapat dihasilkan kedua-dua pasukan dan keputusan 0-0 yang kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan skuad negara pulang awal daripada kempen kali ini.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad negara pada Piala ASEAN B-23 adalah meraih tempat keempat iaitu pada edisi 2005 dan 2023.

